08/11: 100,000 maskot DIGI dan masa untuk berubah!
Category: Blogs
Posted by: raja petra

Ketua Perusuh
10 November 2007 akan pastinya dikenang dalam sejarah negara apabila berhimpunnya warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama dalam satu perhimpunan mega di Dataran Merdeka. Perhimpunan yang dijangkakan akan disertai seramai 100 ribu orang akan pastinya mengubah senario di Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka yang pastinya akan mendapat liputan luas dari media antarabangsa.
Khabarnya banyak media antarabangsa (cetak dan elektronik) telah menghantar “correspondent” mereka untuk membuat liputan ini secara langsung dan ramai juga para pemerhati luar dijangkakan hadir. Perhimpunan yang pertama kalinya diadakan bertujuan untuk menyerahkan memorandum rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menggariskan keperluan untuk membuat perubahan kepada perjalanan sistem pilihanraya di Malaysia.
Sebagai ketua negara Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung Sultan Mizan Zainal Abidin berhak untuk menerima perhimpunan dan kunjungan rakyatnya dan tidak ada pihak lain yang perlu untuk menggagalkan perhimpunan dan kunjungan tersebut. Malah sewajarnya pihak Polis tidak akan menyekat Seri Paduka Baginda dari bertemu dengan rakyatnya.
Perhimpunan yang akan dilakukan nanti tentunya akan memberikan seri kekuningan (dimana semua peserta dikehendaki untuk memakai pakaian berwarna kuning) yang melambangkan kedaulatan dan hormat rakyat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung serta Raja-Raja Melayu.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sememangnya diletakkan dibawah kuasa Perdana Menteri Malaysia manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diletakkan dibawah kuasa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Sehubungan dengan itu, amatlah diharapkan agar khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sepatutnya setia dan berkhidmat dengan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung agar dapat memberikan khidmat keselamatan pada semua rakyat yang berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda.
Sehingga kehari ini, rakyat amat menyanjungi dan menghormati perkhidmatan ketenteraan lebih dari perkhidmatan kepolisan kerana sikap Tentera yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik melainkan hanyalah berkhidmat kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Pihak Polis pula sememangnya dikenalpasti telah dilacurkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.
Oleh yang demikian, saya amat mengharapkan agar pihak Angkatan Tentera Malaysia (jika mereka masih setia kepada Agung dan Raja-Raja Melayu) agar bertindak untuk memberikan perlindungan kepada semua rakyat yang berhimpun pada 10 November 2007 ini di Dataran Merdeka dari tindakan serta provokasi yang pastinya dilakukan oleh pihak Polis (PDRM) dibawah telunjuk Kerajaan Barisan Nasional.
Kepada semua yang berhimpun (anda semua akan nampak seperti maskot DIGI), ingatlah bahawasanya DIGI bersama anda dengan motto mereka “Masa Untuk Berubah”. Kita jumpa disana.