|
Abdullah – Najib saling memerangkap |
|
|
|
Posted by admin
|
|
Friday, 11 July 2008 14:14 |
|

Justeru pada saya pengumuman itu dibuat kerana Abdullah kini dalam keadaan terdesak dan makin hilang pengaruh. Dan Najib pula menerimanya kerana beliau juga berada dalam keadaan terdesak.
Oleh Mohd Sayuti Omar
PENGUMUMAN Abdullah Ahmad Badawi akan bersara dan menyerahkan jawatan presiden Umno dan perdana menteri kepada Mohd Najib Razak pada tahun 2010 semacam semuanya sudah selesai. Seolah kenyataan itu menutup dan membungkus kejap isu perebutan jawatan dalam parti itu dan perang dingin antara puak Najib dengan puak Abdullah yang berlaku ketika ini.
Begitukah? Itulah setidak-tidaknya dirasakan apabila melihat kekalutan tv dan media kroni membuat liputan berhubung pengumuman Abdulah itu. Media kroni cuba memberi gambaran bahawa isu siapa pengganti Abdullah dan pertelingkahan antara Abdullah - Najib telah pun selesai dengan baik. Semua sepakat menerima pelan peralihan kuasa yang dirancangkan sebelum ini.
Masalah dan kemelut di dalam Umno sudah pun tamat?
Soalnya apakah orang percaya kepada apa yang berlaku di PWTC petang semalam? Atau ianya sebagai mimpi dan ingauan untuk menempa damai saja. Najib dan Abdullah sedang berangan-angan masalah dihadapi parti mereka selepas dihentam badai politik 8 Mac lalu sudah reda dan kini bersiap sedia untuk berhadapan dengan lawan kembali yang semakin bertenaga.
Bagi mereka yang terlatih dengan sains politik tidak mudah menelan pengumuman Abdullah dan penerimaan Najib itu yang dilihat sebagai tidak lebih daripada akuan berkanun ala "Balasubramain" sahaja! Ahli Umno pula bukan saksi terbaik. Sebelum ini pun ahli Umno sudah mendengar pengakuan seumpama itu. Sudah beratus bahkan beribu kali yang dilafazkan oleh pemimpin mereka. Namun apa berlaku akhirnya, akuan bersumpah itu ada yang ditarik balik ada yang tidak sah ada yang seratus peratus bohong. Jika masih ingat Anwar Ibrahim juga pernah mengatakan tidak akan mencabar Ghafar Baba untuk kerusi timbalan presiden Umno, tetapi akhirnya apa jadi... Ghafar terpaksa ke Singapura dengan membawa plastik. Ini sejarah.
Pengumuman Abdullah dan pengakuan Najib itu bukan bukti sahih yang boleh dipegang oleh ahli Umno. Ianya indah untuk menghiasi skrin tv kroni dan muka depan media cetak kroni sahaja. Manalah ada janji politik yang boleh dipercaya. Mana ada kawan yang ikhlas dan setia dalam politik. Mana ada sumpah sejati orang politik. Tetapi apa yang tidak mustahil bagi orang politik ialah tindakan mereka. Sesekali kita jangan merasa musthil dengan tindakan orang politik, mereka bukan saja setakat berbohong, namun sampai mengatur pembunuhan pun ada! Telah ada sejarah dan sejarah ini terus dan sedang dilakar dari masa ke semasa.
Pada saya apa yang berlaku itu – pengumuman Abdullah tersebut hanya sandiwara wayang pacak saja. Ia hanya mungkin benar pada zahir tetapi tidak pada batinnya. Kali ini saya bersetuju dengan pandangan dan ingatan Mahathir Mohamad, bahawa Najib diberikan gula-gula oleh Abdullah dengan janji-janji untuk menyerahkan jawatan PM kepada Najib. Pengumuman untuk menyerahkan jawatan presiden Umno dan PM itu hanyalah umpan yang manis buat Najib.
Najib sendiri tidak percaya akan hal ini. Sebagai seorang yang waras dan pratikal, apakah boleh Najib menerima pengumuman dan janji Abdullah itu. Kedua jawatan itu bukan mutlak hak Abdullah Ahmad Badawi. Ia adalah hak ahli. Penentuan siapa yang akan dilantik dan diterima menjadi PM bukan terletak kepada bekas presiden atau bekas PM, namun ia terletak kepada Yang di-Pertuan Agong. Kalau pun Abdullah atau Mahathir mahukan Najib, tetapi kalau Yang di-Pertua Agong tidak mahu, Najib tidak boleh mengangkat sumpah untuk menjadi perdana menteri ke -6. Status agong dalam perkara ini samalah dengan status (bidang kuasa Raja-raja) di negeri-negeri. Apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis adalah iktibar terbaik. Walaupun Umno mahukan Idris Jusoh menjadi MB Terenggau dan Shahidan Kassim MB Perlis, namun apabila Sultan atau Raja tidak membuka pintu untuk mereka, apa yang mereka dapat lakukan. Ternganga sajalah jawabnya. Rasanya realiti dan prosuder ini difahami dan dimengerti oleh Najib. Makanya Najib juga masih berfikir apakah beliau berpeluang atau tidak untuk mewarisi takhta yang pernah diduduki oleh bapanya itu.
Justeru pada saya pengumuman itu dibuat kerana Abdullah kini dalam keadaan terdesak dan makin hilang pengaruh. Dan Najib pula menerimanya kerana beliau juga berada dalam keadaan terdesak. Kesimpulan pengumuman menyerah dan pengakuan menerima itu tidak ubah sebuah perangkap besar yang dipasang oleh kedua pihak untuk menjerut leher masing-masing dan dalam masa sama untuk meredahkan pertelingkahan di peringkat bawahan.
Ada beberapa senario kepada konsensus itu;
1. Abdulah terpaksa berbuat begitu kerana sudah merasai wap bahawa kemungkinan Najib akan mencabar beliau pada perhimpunan akan datang. Usaha dan kempen sedang dijalankan oleh puak Najib. Sehingga sebelum pengumuman peralihan itu dibuat kemungkinan Najib akan menentang Abdullah 90 peratus.
2. Dengan berbuat demikian Abdullah boleh mengendurkan usaha kumpulan Najib. Setidak-tidaknya beliau boleh mengharapkan bantuan Najib untuk merebuat jawatan presiden yang mungkin berlaku antara beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
3. Apa yang dilakukan Abdullah itu telah memerangkapkan Najib. Dan Najib pula bersedia bersetuju terkurung dalam perangkap memandang masalah yang sedang mengelilingi beliau pada masa ini termasuk persepsi umum yang beliau ada terlibat dengan pembunuhan Altantuya menerusi isterinya.
4. Dengan menerima dan bersedia pengumuman Abdullah itu bermakna nafas dan oksigen politik Najib masih tersisa. Sempatlah beliau mengumpulkan kekuatan dan mengatur membersihkan dirinya dengan peluang yang ada itu.
5. Najib tetap juga terperangkap dengan penerimaan itu. Beliau sudah pasti tidak akan selesa untuk memenangi jawatan timbalan presiden. Muhyiddin Yassin yang sebelum ini sudah membayangkan akan bertanding jawatan timbalan, kalau beliau meneruskan hajatnya ini bermakna Najib akan terganggu.
6. Perkembangan yang berlaku semalam itu merubah struktur dan regu-regu yang mungkin wujud dalam pertandingan Disember hadapan. Kemungkinan Muhyiddin yang kehilangan regu dengan Najib akan mencari regu baru. Kemungkinan besar akan berlaku pakatan antara Muhyiddin dengan Tengku Razaleigh Hamzah yang akan menentang pakatan Abdullah - Najib.
Kesimpulan pengumuman Abdullah semalam dan kesediaan Najib adalah satu gencatan senjata, sementara keduanya memikirkan apakah strategi bakal diambil seterusnya. Pengumuman Abdulah semalam ada juga kaitan dengan isu yang membabitkan Anwar Ibrahim sehari dua ini. Kalau isu Anwar tidak berlaku mungkin Abdullah tidak bersedia dengan pelan peralihan kuasa yang menyeksakan jiwanya itu kerana Anwar boleh diharap memberi batuan secara bawah tanah!
|
PI Bala's 1st SD & 2nd SD dan kehilangannya & sekeluarga lagi menguatkan kepercayaan Rakyat terhadad 1st SD nya !
siapa yang untung? pastinya Badawi !
Siapa yang rugi? pasti bukan anwar ! yang rugi pastinya Najis.