|
Oleh Zulkifli Mohamed
Strateginya tetap rahsia, namun penasihat keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu yakin, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan tumbang dan digantikan dengan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selewatnya pada 16 September depan.
“Bahkan peralihan kuasa itu, dijangka berlaku lebih cepat daripada itu,” jelas sumber yang rapat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Jelasnya, dalam perbincangan tertutup Anwar dengan beberapa pimpinan keADILan, yang beliau turut hadir, penasihat keADILan itu berkeyakinan begitu tinggi.
“Saya lihat keyakinan Anwar begitu luar biasa,” jelasnya.
Tambahnya BN tetap akan tumbang, biarpun mereka melakukan pelbagai tindakan, termasuk sogokan, pujukan dan ugutan terhadap ahli parlimen BN bagi menghalang penghijrahan mereka kepada PR.
Beliau diminta mengulas 10 ahli Parlimen Sarawak yang telah ‘diculik’ dan dibawa ke seberang laut dalam usaha menyekat mereka daripada meninggalkan BN untuk menyertai PR, baru-baru ini.
Mereka dipercayai telah dibawa ke Beijing. Difahamkan sebahagian ahli Parlimen tersebut akan menyertai PR.
“BN telah ketandusan formula, kerana kumpulan ahli Parlimen mereka telah bertekad akan bersama PR,” jelas sumber tersebut.
Sambungnya bilangan mereka yang akan menyertai PR lebih daripada mencukupi bagi membentuk kerajaan baru.
Selepas Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan Datuk Yong Teck Lee mengorak langkah mengumumkan akan menyokong undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada sidang parlimen akan datang, PR kini hanya memerlukan sokongan lagi 28 ahli parlimen BN, daripada bilangan minimum 30 orang yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru.
Jelasnya, keputusan SAPP itu hanyalah amaran awal, selepas pemimpin BN berterusan dengan sindrom penafian tidak akan berlaku lompat parti.
Kerajaan PR, tambahnya akan dibentuk berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negara.
“Yang pasti hanya faktor masa yang akan menentukannya, sama-samalah kita berikhtiar dan berdoa,” jelasnya.
Sementara itu, ketika berucap di Stadium Shah Alam, baru-baru ini sempena meraikan 100 hari kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Anwar menyeru ahli-ahli Parlimen BN segera menyertai PR.
“Ayuh, selamatkan negara ini,Malaysia ! Kita tukarkan kerajaan BN. Kita memerlukan 30, (ahli parlimen ) sekarang dua telah menyertai kita, yang lain akan menyusul,” tegasnya.
|