|
(Harakah) - Sementara scenario politik Malaysia mengalami angin perubahan pasca PRU-12, nampaknya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi juga sedang menghembuskan bayu perubahan dalam menyejukkan bara politik yang seakan-akan tidak kunjung padam.
Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Kelantan 2008 dan Semarak Seni di Kuala Lumpur, pada 31 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato' Zaid Ibrahim melabelkan golongan yang tidak dapat menerima perubahan yang cuba dilakukan oleh Perdana Menteri sebagai golongan orde lama yang mengamalkan budaya politik lama. Bertolak dari kenyataan ini, maka bermakna, pada hemat Zaid, sesiapa sahaja yang boleh menerima perubahan yang dicuba dilakukan oleh Perdana Menteri ini tergolong dalam kategori orde baru dan sekaligus merupakan pengamal kepada budaya politk baru. Namun, tidak pula begitu jelas apa yang dimaksudkan oleh Zaid mengenai order lama dan order baru dalam budaya politik Melayu, khususnya politik Umno sendiri. Apakah garis pemisah di antara dua orde ini terletak pada tindakan mengkritik atau tidak mengkritik Abdullah? Apa yang dimaksudkan tindakan kerajaan Umno-BN yang melayakkan Abdullah dilihat sebagai membawa panji-panji orde baru ini sudah pastilah ura-ura pembentukan Suruhanjaya Anti Rasuah dan Surahanjaya Kehakiman yang dicanang dan diulang-tayang tanpa jemu-jemu oleh media pilihan termasuk akhbar Utusan Malaysia dan TV3. Demikian pun, Suruhanjaya Anti Rasuah yang masih mengekalkan format lama dalam melapor terus kepada Perdana Menteri dan seterusnya tidak mustahil sekiranya perlu menunggu lampu hijau beliau sebelum mengambil tindakan ke atas individu tertentu dilihat oleh kebanyakan rakyat serta pemerhati politik sebagai lagu lama yang diberi nafas baru. Pembentukan Suruhanjaya Kehakiman pula dianggap oleh ramai sebagai respons spontan pemimpin Umno-BN dalam kerajaan terhadap rungutan rakyat mengenai proses pelantikan hakim serta kebabasan judiciary secara umum. Ia juga seolah-olah merupakan cara tidak langsung mengatakan betapa peruntukan bersabit perlantikan hakim sebagaimana dalam Perlembagaan adalah tidak lengkap dan sempurna. Mungkin pemimpin Umno-BN terlupa betapa kita tidak menghadapi masalah asas mengenai kehakiman sebelum pertengahan 1980-an. Namun, mungkin atas nama orde baru, kita bukan sahaja menghapuskan Mahkamah Persekutuan dan menggantikannya dengan Mahkamah Rayuan tetapi menghentikan amalan merayu ke Privy Council walaupun kita belum begitu bersedia semata-mata kerana kita mengambil sikap dendam terhadap British atau mungkin juga tidak mahu mahkamah rayuan Komanwel itu memutuskan penghakiman yang tidak mengikut kehendak kita bagi kes-kes yang melibatkan kerajaan dan telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Sejak itu, banyak yang telah diperkatakan tentang perihal kehakiman Malaysia oleh masyarakat kehakiman dan guaman antarabangsa. Namun kita tidak pernah meneliti mana-mana pendapat mereka. Kita mengambil sikap sinis. Kita rasa kita sahaja yang betul. Apapun, sebagai rakyat, kita sudah tentulah mengharapkan agar Suruhanjaya itu akan menjayakan tanggungjawabnya dengan bebas tanpa ada agenda tersembunyi atau mengambil sikap berat sebelah. Dan bagi Sabah, Negeri Di Bawah Bayu ini dilihat sebagai diberikan layanan paling istimewa apabila dalam lawatannya ke Sabah pada 31 Mei 2008, menyaksikan pembubaran serta-merta Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah dan digantikan dengan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah dengan peruntukan Perdana Menteri dalam kiraan bilion ringgit dan penyelesaian apa juga masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah termasuk masalah pendatang tanpa izin. Sabah bukanlah di antara lima negeri yang terlepas dari tangan BN dalam pilihan raya lalu. Namun demikian, tsunami politik yang melanda parti tersebut menjadikan Sabah sebagai faktor pengimbang kepada keupayaan BN mengekalkan kuasanya sebagai kerajaan Persekutuan walaupun dalam keadaan keangotaan Dewan Rakyat yang begitu merosot dan kurang dari dua pertiga. Dengan itu, walaupun bermulanya orde baru (meminjam istilah yang digunakan oleh Zaid), di Sabah. Tentulah rakyat bersyukur kerana apa yang mereka nantikan selama berpuluh tahun akhirnya hampir menjadi kenyataan. Namun, bersyukur tidak semestinya berterima kasih kepada pihak yang memberikan segala peruntukan. Sementara hanya segelintir rakyat Sabah yang melihat semua ini sebagai satu keikhlasan dari hati yang tulus, sebahagian besar mereka sudah tentulah melihatnya sebagai ada udang di sebalik batu.
|