|
Baru-baru ini Ameir Hassan, Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis yang baru dilantik telah menyeru secara terbuka agar bekas Menteri Besar Shahidan Kassim melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Perlis dan Pengerusi BN Perlis.
Ianya bagi memberi laluan kepada Md Isa Sabu dilantik ke jawatan tersebut yang mana sesuai dengan kedudukannya sebagai MB Perlis. Perkara ini juga dapat mengatasi masalah perpecahan dalam Umno Perlis. Manakala Shahidan telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak mahu melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan kerana katanya beliau adalah Ketua Umno Bahagian Arau yang dipilih oleh perwakilan parti. Sebagai langkah untuk menyatu-padukan Umno Perlis, Presiden perlu bertindak segera untuk melucutkan jawatan Shahidan dalam Perhubungan Perlis dan diserahkannya kepada Md Isa. Pak Lah perlu sedar bahawa Shahidan adalah salah seorang perancang dalam Team Wawasan yang pernah memainkan peranan dalam Pemilihan Umno 1993 untuk memastikan Pak Lah kalah sebagai calon Naib Presiden. Perkara ini tidak mustahil akan berulang lagi dalam Pemilihan parti Disember ini kerana Shahidan secara senyap-senyap menyokong calon-calon yang dipersetujui oleh Dr Mahathir Mohamad. Shahidan sendiri telahpun mula mengatur perancangan dan gerakan untuk bertanding kerusi Naib Presiden. Di peringkat negeri, usaha ketua-ketua cawangan di Bahagian Arau mengatur pertemuan dengan Ameir untuk menyatakan hasrat mereka agar beliau bersetuju untuk bertanding bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Arau yang ketika ini disandang oleh Shahidan perlu dilihat sebagai tanda sokongan kepada Presiden parti di kala kedudukannya digugat di setiap negeri termasuk di Perlis. Ameir yang juga merupakan seorang peguam dilihat calon yang paling layak untuk menggantikan Shahidan sebagai Ketua Bahagian Arau kerana beliau tidak pernah berada di mana-mana kem sebelum ini dan ini sebagai satu faktor penting untuk mengukur kesetiaannya kepada Pak Lah jika mahu dibandingkan dengan Shahidan yang pernah berada dalam banyak kem ketika pemilihan. Shahidan sendiri pernah mengatakan kepada penyokong-penyokongnya bahawa baginya istilah kesetiaan tidak pernah wujud dalam kamus politiknya. Ini menggambarkan beliau boleh berpindah ke mana-mana kem dalam sekelip mata sahaja jika ianya mampu memperkukuhkan kedudukan karier politiknya. Ammar Hassan Bekas Ketua Pemuda Bahagian Arau
|