|
Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berkata kejayaan parti yang tidak berasaskan perkauman seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bersifat sementara.
Katanya untuk menyatupadukan tiga kaum (India, Melayu, Cina) dalam sebuah parti bukan boleh dipupuk dalam masa yang sekejap kerana ia perlu benar-benar menjadi satu budaya. "Seseorang individu bila sudah masuk politik kena ada sokongan masyarakat di belakangnya. Ada ramai orang berbincang mengenai politik perkauman, tetapi ini bukan perkara yang boleh terjadi dalam tempoh satu atau dua bulan sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan MIC Negeri Sembilan di sini Sabtu. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tanggapan bahawa parti politik berasaskan sesuatu kaum sudah tidak lagi relevan di negara ini, ekoran PKR dan DAP yang membuka keanggotannya kepada semua kaum telah mencipta kejayaan pada pilihan raya umum lepas. Samy Vellu bagaimanapun berkata MIC akan mengubah keahliannya yang selama ini berasaskan kaum, jika pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) mahu menjadikan BN sebagai satu parti yang keanggotaanya tidak berasaskan kaum. Mengenai MIC, Samy Vellu berkata menjelang pilihan raya umum lepas, kira-kira 22 peratus daripada 630,000 anggotanya telah keluar parti. "Oleh itu sekarang kita mesti menggunakan pendekatan psikologi untuk menarik lebih ramai kaum India memasuki MIC. "Kehilangan ahli-ahli ini sedikit sebanyak telah menjejaskan prestasi MIC pada pilihan raya yang lepas dan saya mahu ketua-ketua cawangan mengambil perhatian terhadap ahli-ahli di belakang mereka. "Sekarang banyak di antara ketua-ketua cawangan walaupun hanya ada keahlian 100-150 orang tetapi mereka tidak berhubung dengan ahli-ahli. "MIC kena baiki keadaan ini, tumpukan perhatian kepada masyarakat India dan ahli-ahli MIC di bawah dan parti ini pasti akan kembali kepada statusnya yang kuat sebelum ini," katanya. Menurut Samy Vellu, kalau pemimpin dan ahli MIC membuat kesalahan, mereka perlu segera minta maaf dan tidak perlu merasa malu untuk berbuat demikian bagi merapatkan semula hubungan. - Bernama
|
source: http://bolehjokes.********.com/