|
Saya mahu menawarkan diri sebagai calon naib presiden. Dalam suasana ada persepsi bahawa ahli Umno memerlukan the wind of change (angin perubahan) selepas pilihan raya umum ke-12 yang lalu di mana Umno dan Barisan Nasional (BN) telah tewas di banyak kawasan dan di lima negeri, mungkin beberapa perubahan dituntut oleh ahli Umno termasuk dalam barisan kepimpinan tertinggi Umno itu sendiri.
Oleh SA'ODAH ELIAS, mStar Online
Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik menjadi tokoh terbaru menawarkan diri sebagai calon bagi merebut satu daripada tiga jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti itu akhir tahun ini. Abdul Rahim berkata dalam persepsi ahli Umno mahukan perubahan selepas pencapaian buruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum Mac lalu, beliau merasakan masanya sudah sampai bagi beliau menawarkan diri membantu mengukuhkan semula parti. 
Saya sudah bersedia tawarkan diri untuk jawatan lebih kanan - Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik Tokoh 58 tahun itu yang melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada 1994 berikutan dakwaan salah laku seksual melibatkan seorang gadis bawah umur dan rasuah berkata, berdasarkan rekod perhidmatannya 12 tahun sebagai Ketua Menteri Melaka, dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sekarang, beliau merasakan sudah layak untuk memegang jawatan lebih tinggi di dalam parti. Abdul Rahim juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno. Bercakap dalam satu temu bual dengan mStar Online, pemimpin berkarisma itu juga mengeluarkan peringatan awal kepada sesiapa yang bercadang untuk mengungkit tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan kepadanya dahulu kerana beliau telah didapati tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu oleh mahkamah. "Saya telah dibersihkan oleh mahkamah. Tetapi biasalah, ahli politik yang memusuhi saya akan terus buat tohmahan. Tetapi jika buat secara terbuka saya sudah pasti akan ambil tindakan secara jenayah terhadap mereka kerana mengungkit keputusan mahkamah. Saya tidak akan teragak-agak membuat laporan agar tindakan diambil terhadap orang yang cuba perlekehkan sistem kehakiman kita. "Dari segi peribadi pula saya juga akan ambil tindakan terhadap mereka kerana memfitnah. Saya akan tuntut seberapa banyak nilai yang sesuai kerana menghina saya. Jika sanggup menghina mesti sanggup bayar kos menghina saya. Siapa buat tuduhan mesti sedia pikul kesannya nanti, tak kira siapa, sama ada menteri, timbalan menteri atau siapa sahaja," tegasnya. Abdul Rahim juga menyentuh panjang lebar tentang perubahan yang ingin beliau bawa kepada Umno sekiranya berjaya dipilih menganggotai barisan kepimpinan tertinggi parti itu menjelang Disember depan. Ikuti temuramah sepenuhnya bersama Abdul Rahim. Soalan: Tan Sri sekarang ahli MT dan Pengerusi Gabem. Apakah hala tuju masa depan politik Tan Sri? ARTC: Saya mahu menawarkan diri sebagai calon naib presiden. Dalam suasana ada persepsi bahawa ahli Umno memerlukan the wind of change (angin perubahan) selepas pilihan raya umum ke-12 yang lalu di mana Umno dan Barisan Nasional (BN) telah tewas di banyak kawasan dan di lima negeri, mungkin beberapa perubahan dituntut oleh ahli Umno termasuk dalam barisan kepimpinan tertinggi Umno itu sendiri. Kita tidak boleh memastikan siapa yang dikehendaki oleh Umno kecuali sampai Disember depan apabila ada perhimpunan agung dan pemilihan barisan pemimpin baru. Dalam konteks ini, saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai naib presiden kerana pengalaman saya dan peranan saya dalam MT dan rekod perkhidmatan yang lalu, jadi pada pendapat saya sudah sampailah masanya. Saya pernah jadi ketua menteri, timbalan menteri, ketua Pemuda Umno, jadi ahli MT beberapa penggal, jadi pada pendapat saya, saya telah layak untuk menawarkan diri. Soalan: Mengapa hanya sekarang Tan Sri mahu mencuba nasib bagi jawatan lebih kanan dalam parti? ARTC: Ini adalah masa paling sesuai kerana telah berlaku perubahan landskap politik di negara ini. Umno perlukah pemimpin yang benar-benar boleh bekerja dan memulihkan semangat juang dan yang boleh deliver, yang boleh menterjemahkah hasrat dan wawasan kepada tindakan dan realiti sehingga menjadi satu kenyataan. Dalam konteks ini, saya rasa saya memenuhi kriteria itu berdasarkan rekod saya yang telah lalu. Soalan: Adakah Tan Sri rasa ahli-ahli Umno sudah bersedia untuk menerima Tan Sri sebagai pemimpin lebih kanan dan melupakan tuduhan-tuduhan yang pernah dilemparkan terhadap Tan Sri sehingga menyebabkan Tan Sri meletakkan jawatan dahulu? ARTC: Sebenarnya saya tidak pernah diarah letak jawatan. Saya sendiri secara sukarela letak jawatan. Kes lama ini adalah satu kes yang telah dibersihkan, telah tidak ada keraguan lagi dari segi apa yang berlaku. Misalnya kes rasuah yang dituduh kepada saya, keputusan mahkamah melalui kertas kehakiman memperlihatkan tidak ada bukti, tidak ada fakta yang boleh menyebabkan saya didakwa. Kerana itu tohmahan yang dibuat ditolak mahkamah. Pada masa itu keputusan mahkamah tidak pun dicabar mana-mana pihak. Ini satu pembersihan oleh sistem perundangan terhadap diri saya. Tetapi biasalah ahli politik yang memusuhi saya akan terus buat tohmahan. 
Jika berani tohmah saya, mestilah berani terima akibarnya Tetapi jika buat secara terbuka saya sudah pasti akan ambil tindakan secara jenayah terhadap mereka kerana mengungkit keputusan mahkamah dan Peguam Negara. Ini adalah penghinaan mahkamah. Saya tidak akan teragak-agak membuat laporan agar tindakan diambil terhadap orang yang cuba perlekehkan sistem kehakiman kita. Dari segi peribadi pula saya juga berhak ambil tindakan terhadap sesiapa yang cuba memalukan saya. Saya akan tuntut seberapa banyak nilai yang sesuai kerana tuduhan itu menghina. Jika sanggup menghina dia juga mesti sanggup bayar kos menghina saya. Siapa buat tuduhan mesti sedia pikul kesan tindakan mereka itu, tak kira siapa yang buat, sama ada menteri, timbalan menteri atau siapa sahaja. Sistem kehakiman dah kata saya tidak bersalah. Soalan: Maksudnya Tan Sri telah bersedia menghadapi sebarang pandangan dan persepsi ahli Umno terhadap diri Tan Sri? ARTC: Bukan hanya menghadapi persepsi, tetapi mengambil tindakan terhadap mereka yang berani buat tohmahan terbuka pada saya. Kalau hendak mangsakan saya dengan khabar-khabar angin, bersedialah menghadapi tindakan daripada saya. Silalah buat benda-benda yang kotor ini. Kedua-dua kes ini sama ada kes korupsi atau skandal seks, adalah kes-kes yang telah dibersihkan. Saya mangambil masa enam tahun lagi untuk menyaman semua pihak yang telah berterusan membuat tohmahan terhadap saya. Mereka semua sudah minta maaf kepada saya. Soalan: Adakah Tan Sri telah mendapatkan pandangan kawan-kawan dalam parti untuk melihat dan mengagak tahap sokongan sebelum bercadang menawarkan diri untuk jawatan naib presiden? ARTC: Saya meletakkan nasib saya pada perwakilan. Terpulanglah pada kebijaksanaan pemimpin Umno daripada seluruh negara untuk melihat situasi yang berlaku sekarang. Saya menerima banyak sokongan daripada orang-orang tertentu. Mereka beritahu akan sokong dan ada yang hantar sistem pesanan ringkas (SMS). Saya mempunyai rekod bekerja yang baik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno, dan sebagai Ketua Menteri Melaka. Di Melaka saya berjaya jadikan Melaka dari sebuah negeri kedua termiskin selepas Kelantan kepada sebuah ekonomi yang vibrant. Pengganti saya telah meneruskan transformasi itu. Saya juga berkhidmat dalam MT, memainkan peranan memperkuatkan jentera Umno sebagai Pengerusi Gabem untuk kukuhkan perjuangan ekonomi Melayu dalam konteks mempertingkatkan pencapaian ekonomi negara keseluruhannya. Ini semua tugas yang berat yang terpaksa saya pikul dan berasaskan pengalaman ini jika dipilih, saya boleh memainkan peranan positif dan konstruktif untuk kuatkan pucuk pimpinan Umno yang jadi asas kepimpinan BN. Soalan: Sebagai calon, apakah yang dapat Tan Sri tawarkan kearah mengukuhkan Umno? ARTC: Pertama sekali kita mengehendaki Umno yang lebih kuat. Kita kena kaji kelemahan kita yang lalu. Umno telah berkuasa 50 tahun dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan 30 tahun. Dalam masa yang panjang itu tentulah kita ada kelemahan di sana sini yang menyebabkan rakyat tidak puas hati. Masalahnya di Malaysia apa yang mereka tidak puas hati selalu diperbesarkan secara keterlaluan. DEB misalnya difitnah dengan begitu teruk sekali. Seolah-oleh DEB yang telah banyak menyumbang terhadap transformasi Malaysia selama 30 tahun kebelakangan ini, dari sebuah negara yang bergantung pada komoditi utama kepada negara ICT, kepada sebuah negara perdagangan di peringkat global, kerana fitnah yang banyak yang dikaitkan dengan rasuah dan kronisma, maka dasar yang telah banyak memberi jasa itu kini diperlekehkan. Ini tidak betul. Dasar itu baik. Tidak ada perjuangan lebih murni kecuali membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dan mengagihkan kekayan negara kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang. Ini mesti dikekalkan. Tetapi sekarang kerana pihak pembangkang berjaya, terutama dalam perang siber dalam internet dan melalui SMS memberikan gambaran yang sangat dahsyat dan kotor terhadap DEB, maka ini mempengeruhi paradigma generasi baru dan orang yang atas pagar. Persepsi salah mengenai DEB ini mesti diperbetulkan. Gabem sudah turun ke bawah, memanggil semua pemimpin ekonomi Melayu untuk bincang mana kelemahan kita. Kalau betul-betul ada rasuah adalah tanggungjawab bersama untuk kita ambil tindakan. Orang dulu tuduh saya rasuah. Saya sedia hadapi perbicaraan. Begitu juga orang yang buat tuduhan yang begitu banyak. Malangnya tuduhan kosong sahaja, tidak kemukakan bukti dan kes yang jelas untuk diambil tindakan. Jika tiada bukti dan saksi kepada tuduhan yang dibuat jadi kerajaan tidak ambil tindakan. Makanya mereka kata kerajaan conform dengan budaya rasuah. Ini salah. Orang yang buat tuduhan tidak lapor pada Badan Pencegah rasuah, sebaliknya tohmah kosong. Saya pernah cadangkan pada MT agar kita ikut seperti Singapura, siapa yang buat tohmahan, mesti dibawa ke mahkamah untuk buktikan tuduhan mereka benar. Jadi siapa buat fitnah mesti diheret ke mahkamah untuk membuktikan tohmahan mereka. Kita sebagai orang Islam, sangat teliti tentang undang-undang dan kehakiman, tetapi kita benarkan blog-blog membuat pelbagai fitnah. Kita akui kerajaan gagal bertindak cepat menangkis tohmahan dalam blog dan internet dan ini merupakan satu faktor penyebab kepada pencapaian buruk BN kali ini. Kegagalan kerajaan memberi penjelasan dengan betul menyebabkan pengundi, terutama generasi baru, memikirkan apa sahaja yang ditulis dalam blog itu benar belaka. Kita tahu di Malaysia, generasi antara 20-an dan 30-an tidak berminat membaca akhbar aliran perdana, sebaliknya lebih mempercayai maklumat di alam siber. Dari segi ini belum ada reformasi dalam Umno untuk menganggap alam siber sebagai sesuatu yang sangat penting bagi menyampaikan maklumat. Kini kita perlu perbetulkan apa yang dikatakan di alam siber. Betulkah ada rasuah, siapa yang lakukan, pemimpin mana? Kita mesti akui kelemahan kita, dan perbetulkannya. Jika Umno tidak akui kelemahan, kita tidak akan dapat perbaiki parti kita. Jika kita kekal dalam state of denial, kita tidak akan kekal relevan. Soalan: Apakah pandangan Tan Sri mengenai amalan politik patronage yang diamalkan dalam Umno selama ini? Adakah amalan setiap peringkat pemimpin mengharapkan limpahan daripada projek kerajaan perlu diubah? ARTC: Kita mempunyai sistem kepimpinan pelbagai peringkat. Di atas sekali pucuk pimpinan tertinggi terdiri daripada presiden, timbalan presiden dan naib presiden. Kemudian diikuti MT, kepimpinan negeri, bahagian diikuti cawangan dan ahli-ahli akar umbi. Pemimpin di semua peringkat ini saling memerlukan antara satu dengan lain bagi memastikan kekukuhan politik Umno. Begitulah kita. Tetapi amalan patronage ialah apabila pemimpin yang tidak layak jadi pemimpin tetapi mahu mengekalkan kedudukan mereka, menggunakan wang ataupun kuasa untuk menganugerahkan projek ataupun yang serupa dengan itu untuk dapatkan sokongan, sedangkan mereka memang sudah tidak layak. Itu kita panggil rasuah. Sepatutnya proses kepimpinan dalam Umno adalah satu proses peralihan kepimpinan secara biasa berasaskan amalan demokrasi. Tetapi ada pemimpin yang bercita-cita besar dan tidak menerima hakikat bahawa mereka tidak efektif, lemah dan tidak popular, akan cuba menongkah arus. Mereka ini akan gunakan kedudukan mereka, sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri untuk menawarkan sesuatu kepada perwakilan supaya sokong mereka. Ini satu amalan jijik. Umno mesti mengakui bahawa keadaan ini memang banyak berlaku dan kita mesti bersedia untuk berubah agar sistem pemilihan kita bersih ikhlas dan jujur. Jika kita asaskan perjuangan kita dengan beri pingat dan gelaran datuk yang banyak, atau projek yang banyak, atau duit berbeg-beg, kita akan mendapat barisan pemimpin yang lemah dan bodoh yang tidak layak memimpin, tetapi dipilih kerana menyalahgunakan kedudukan dan menggunakan kekuatan wang untuk kekalkan kedudukan. Umno dari segi jangka panjang akan lumpuh kerana amalan seperti ini. Ini rasuah politik yang mesti kita hapuskan. Saya tahu kerana saya sudah melalui proses ini. Kita juga perlukan satu perubahan agar pemimpin tidak lagi menganggap Umno sebagai hak mereka. Kita mesti kembali kepada amalan di mana ahli boleh memilih atau memecat mana-mana pemimpin yang tidak sesuai. Kalau persepsi Umno adalah hak milik pemimpin secara eksklusif kekal, Umno akan mati. Ia mesti dimiliki bersama oleh ahli yang boleh memilih pemimpin dengan menggunakan hak demokratik mereka secara bebas, tanpa apa-apa sekatan. Soalan: Adakah Tan Sri berpendapat perubahan besar ini boleh dilakukan dalam masa terdekat? Atau adakah ia sesuatu yang hampir mustahil kerana ia akan menyakitkan banyak pihak? ARTC: Ini bukan lagi soal pilihan, ia mesti dilakukan demi survival Umno. Sekarang kita kena pilih sama ada kita mahu pertahankan survival Umno atau survival pemimpin-pemimpin tertentu. Sebenarnya kita tidak ada pilihan lagi pada peringkat ini selain melakukan pembersihan dalaman agar kita terus relevan terutama bagi generasi muda. Soalan: Adakah Tan Sri yakin akan mendapat sokongan daripada kalangan ahli untuk melakukan apa yang Tan Sri cadangkan itu? Ia mungkin tidak popular bagi sesetengah pihak. ARTC: Pertamanya, saya perlulah mendapatkan sokongan daripada perwakilan kerana hanya mereka yang mempunyai kuasa untuk memaksa perubahan dalam Umno. Saya sangat sedar tentang kedudukan itu. Jika mereka enggan berubah, masa depan Umno pasti akan gelap. Saya hanya boleh berharap, kalangan perwakilan tahun ini akan terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen yang tinggi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan Umno demi masa depan orang Melayu. Soalan: Bagaimanakah caranya Tan Sri hendak menyampaikan mesej tentang perubahan ini kepada perwakilan nanti? Yakinkah Tan Sri ia boleh dilakukan? ARTC: Apa yang berlaku dalam Umno sekarang selepas PRU ke-12 lalu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua peringkat ahli Umno. Selain itu, dengan penjelasan secara terang dan terbuka, saya harap kita akan mendapat kalangan perwakilan yang berkualiti tahun ini. Saya harap mereka akan sedar tentang perlunya kita membersihkan parti kita dari dalam jika tidak mahu terus terhapus. Satu lagi isu fundamental yang mesti ditangani Umno ia tentang arah tuju perjuangan selepas ini -- adakah kita mahu terus menyambung perjuangan asas kita iaitu mengekalkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan tentang hak keistimewaan orang Melayu, atau adakah kita hendak memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia seperti dibawa DAP dan PKR? 
Adakah Umno mahu tunduk pada gesaan tentang meritokrasi secara total? Jika kita mahu tunduk pada gesaan tentang meritokrasi secara total, seperti yang diamalkan Singapura perlulah kita buat cadangan hapuskan Artikel 153 itu. Tengoklah nanti di mana Melayu. Adakah orang Melayu yang menjadi majoriti rakyat boleh menerima keputusan itu? Takkanlah kerana tuduhan rasuah dan kronisma kita sudah hilang pedoman hendak tentukan arah tuju negara. Apakah bentuk Malaysia yang mahu Umno perjuangkan sekarang? Beranikah kita untuk terus mempertahankan DEB? Ini soal penting yang mesti kita putuskan. Kita perhatikan sekarang, rakyat tidak peduli jika kerajaan bercakap tentang projek. Mereka tidak minat. Mereka mahu tahu ke manakah kerajaan mahu bawa mereka. Ini melibatkan masa depan mereka dan anak cucu mereka. Inilah soal fundamental yang mesti ditangani Umno dengan segera. Keputusan mesti dibuat kerana ia melibatkan kestabilan politik Melayu, dan kestabilan politik Melayu adalah kunci kepada masa depan Malaysia.
|