Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
| Sebuah akhbar tabloit harian mendedahkan statistik penagih baru bagi tahun 2007 yang mencatatkan Negeri Sembilan sebagai negeri tertinggi bilangan penambahan penagih baru. |
Fakta dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan seramai 279 penagih baru di negeri ini sepanjang tahun 2007 iaitu peningkatan sebanyak kira-kira 63 peratus. Negeri Sembilan negeri paling tinggi kadar penagih baru di negara ini dengan bilangan seramai 717 penagih pada tahun 2007 berbanding hanya 438 orang sepanjang 2006. Ia satu cabaran kepada kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad Hassan dalam merungkai persoalan 'moral' anak-anak muda negeri tersebut yang kini berada pada tahap membimbangkan. Masalah sosial ini yang sebenarnya berpunca dari kemelut isu sosial lain seperti pergaulan bebas, tabiat merokok di kalangan remaja sekolah dan muda-mudi, rempit, bohsia dan melepak yang menjuruskan anak remaja ke arah pangihan dadah. Program-program yang dianjurkan pihak tertentu dalam meraikan remaja di negeri ini mahupun di peringkat nasional kebanyakannya menuju ke arah membawa remaja berseronok dengan dunia. Sambutan malam kemerdekaan, sambutan detik tahun baru dan penganjuran konsert sebagai contoh banyak mempengaruhi remaja untuk 'bersosial luar batasan' hingga ada yang mungkin terjerumus dalam kancah sosial yang lebih membimbangkan, termasuk penagihan arak yang boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan dalam akal. Akibatnya, anasir-anasir lain seperti penagihan dadah boleh mudah mempengaruhi remaja yang akhirnya akan hanya menyumbang kepada penambahan bilangan penagih baru. Penulis tidak ingin melontarkan punca masalah ini ke bahu Menteri Besar tetapi semua pihak perlu mengambil inisiatif bagi membendung kegiatan yang mampu menyumbang kepada permasalahan ini. Beberapa lokasi yang sebelum ini hangat diperkatakan sebagai 'sarang mat gian (penagih)' seperti Felda Palong, Pasir Besar, Felda Jelai, Bukit Rokan, Nilai, Senawang dan beberap kampung di sekitar Jempol perlu diberi perhatian khusus oleh kepimpinan Menteri Besar dalam usaha mengurangkan jumlah penagih di negeri ini. Program-program mendekatkan remaja kepada nilai keagamaan sebenarnya mampu menghindarkan mereka dari menjadi salah seorang yang boleh menyumbang kepada penambahan kadar peningkatan penagih baru. Penulis melihat, tatkala masalah penagih tegar masih merundung kerajaan di semua peringkat, masalah penagih baru ini menjadikan gejala penagihan dadah masalah yang 'sukar' untuk diselesaikan. Untuk itu, Pilihan Raya Umum ke-12 yang akan diadakan tindak lama lagi, perlu dijadikan platform untuk pemimpin politik bukan sahaja mengagendakan isu ekonomi, politik dan keadilan, tetapi perlu juga memfokuskan kepada isu permasalan sosial termasuk isu dadah ini. Menteri Besar perlu bertindak segera, keupayaannya menangani permasalah ini secara menyeluruh amat ditagih. HARAKAH
|