Oleh Mat Zain Mat Isa Sat | Jan 05, 08 | 11:56:27 am MYT | Memang tepat garapan sinis Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, mengenai ketelusan dan kewarasan akhbar-akhbar Cina berbanding akhbar-akhbar arus perdana berbahasa Melayu. Desakan umum yang melatari keputusan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek, melepaskan kesemua jawatan politiknya Rabu (2 Januari) lalu mengukuhkan pemerhatian itu. |
Sehari sebelumnya, Soi Lek membuat pengakuan terbuka bahawa beliau ialah orang yang terlibat dalam aksi hubungan seks bersama seorang wanita yang salinan cakera video digital (DVD) perlakuan itu diedarkan secara meluas di Muar dan Batu Pahat sejak tiga hari sebelum itu. Perkara itu sampai ke pengetahuan umum apabila ia pertama kali dilaporkan akhbar berbahasa Cina Ahad lalu. Pendedahan dan ulasan media selepas itu dikatakan mendorong Soi Lek tampil membuat pengakuan. Di sebalik pengakuan tersebut, Ahli Parlimen Labis itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kerajaan dan parti. Menerusi apa yang dipaparkan media kita dapat menyimpulkan betapa pendiriannya itu mendapat sokongan para pemimpin MCA dan Barisan Nasional, terutama di Bahagian Labis. Akhbar turut melaporkan bahawa pengakuan Soi Lek itu direstui keluarganya. Isteri dan anak-anaknya dikatakan telah memaafkan perlakuan sumbang beliau itu. Justeru, apa pula yang menyebabkan Naib Presiden MCA mengubah pendirian itu keesokan harinya? Ketika mengumumkan perletakan jawatannya dalam kerajaan dan parti, Soi Lek menyebut di antara desakan utama mendorong beliau berbuat demikian ialah "maklum balas tidak baik" diterimanya daripada orang ramai, terutama menerusi media. Beliau malah mengakui langsung tidak menyangka akan memperolehi maklum balas sebegitu negatif daripada orang ramai setelah membuat pengakuan sejujur dan seberani itu. "Saya sangkakan maklum balas itu tentulah bagus (selepas membuat pengakuan) tetapi menurut Astro, 91 peratus (maklum balas penonton) mahu saya meletak jawatan. China Press kata 99 peratus mahu saya meletak jawatan," katanya, sebagaimana dipetik akhbar-akhbar harian, Khamis lalu. Episod ini secara jelas menggambarkan betapa media negara, terutama yang melibatkan pembaca dan penonton Cina, memainkan peranan penting sebagai golongan pendesak dalam masyarakat. Jangan lupa hakikat bahawa pendedahan mengenai DVD itu dimulai akhbar Cina. Ia diikuti pandangan dan desakan sehingga mendorong Soi Lek tampil membuat pengakuan. Di antara pandangan yang mendapat tempat di akhbar itu ialah kritikan lantang Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Beliau menuntut kerajaan menyiasat kes tersebut secara telus dan menjelaskan siapa sebenar pemimpin terbabit. Sebagaimana disebutkan Soi Lek, pengakuan yang dibuatnya tidak mengubah nada laporan dan ulasan di media Cina. Bahkan, suara mendesak dan menekan agar beliau melepaskan jawatannya semakin memuncak. Akhbar-akhbar Melayu di hari-hari sama tidak banyak memberikan ruang terhadap isu itu. Ia sekadar melapor sepintas lalu dan tiada memuatkan sebarang komentar atau tinjau pendapat umum mengenai kewajaran seorang pemimpin utama negara terbabit skandal seks. Jauh sekali untuk memuatkan desakan agar kerajaan bertindak atau pemimpin terbabit meletak jawatan. Barangkali ada yang merasionalkan perkara itu kepada sensitiviti kaum. Mungkin dianggap sensitif bagi akhbar Melayu membicarakan kes melibatkan pemimpin kaum lain. Tetapi sebagaimana disebut Soi Lek sendiri, bahawa beliau bukanlah orang pertama dan terakhir dilibatkan dengan kes seumpama itu. Maka jika membicarakan skandal membabitkan pemimpin bukan Melayu dikira sensitif bagi media Melayu, bagaimana pula dengan kes-kes kontroversi membabitkan pemimpin Melayu sendiri? Sudah lupakah anda dengan kes pembunuhan kejam ke atas Mustakizah Jaafar di Segambut pada November 1988 lalu? Ada suara-suara membabitkan seorang timbalan menteri berbangsa Melayu dalam kes itu. Pembunuhannya dikatakan bagi mengelakkan pembocoran suatu rahsia lebih besar (macam kes model Mongolia yang sedang dibicarakan sekarang juga, barangkali?). Seperti biasa, tiada tekanan diberikan masyarakat terutama menerusi media Melayu agar kerajaan menyiasat dakwaan itu secara telus. Akhbar-akhbar Melayu arus perdana sebaliknya lebih memfokuskan kepada kewujudan apa yang didakwa sebagai "surat layang" yang cuba mengaitkan ahli politik tersebut dengan kes itu. Fikiran pembaca sedari awal dipaku persepsi bahawa itu adalah usaha jahat bagi memburukkan seorang pemimpin yang bersih dan baik. Akhirnya, ahli politik terbabit tidak pernah disiasat. Pemimpin itu selesa dalam jawatan parti dan kerajaan disandangnya sehingga beberapa penggal selepas itu sebelum berundur dari politik. Hingga kini fail penyiasatan kes tersebut masih dibuka dan pembunuhnya belum ditemui. "Tuduhan berniat jahat", "padah bongkar salah laku YB", "Ahli Parlimen dakwa diugut elak dedah 'skandal seks'". Begitulah antara tajuk berita dipilih akhbar-akhbar Melayu awal Februari 2006 lalu. Ia berkisar isu yang didakwa sebagai salah laku seks membabitkan seorang ahli parlimen di Kelantan. Melihatkan tajuk-tajuk itu pun, pembaca sudah diajak berfikir bahawa segala episod yang dipaparkan itu merupakan suatu perancangan jahat pihak lain yang cuba merosakkan imej dan reputasi pemimpin politik dimaksudkan. Tiada langsung desakan atau pandangan lebih rasional agar kerajaan dan parti yang menaungi pemimpin itu menyiasat ahlinya yang terbabit itu. Bagai diduga, pemimpin berkenaan tidak pernah didakwa. Sebaliknya orang yang mengadukan kes itu pula yang terpaksa bermalam di lokap polis dan menghadapi segala macam kesukaran hidup. Beliau tidak dibela, sama ada oleh pihak berkuasa atau pun media massa. Siapa lagi akan berani tampil memperbetulkan kepincangan dan kerosakan pemimpin jika begitu kesudahannya? November 2006 lalu, tercetus isu gambar kontroversi dua pemimpin Umno Selangor. Gambar yang memaparkan hubungan mesra dan intim kedua-dua mereka itu pada mulanya disiarkan ADUN DAP Sungai Pinang, Teng Chang Kim menerusi blognya. Isu itu bagaimana pun tiada dibincang atau diulas rancak di dada akhbar Melayu. Sedangkan perkara itu dipandang serius dan dibawa ke pengetahuan Majlis Tertinggi Umno. Bahkan, isu itu turut didedahkan anggota keluarga pemimpin terbabit sendiri. Rumahtangga salah seorang pelaku itu juga berakhir dengan perceraian. Media Melayu gagal memainkan peranan sebagai pendesak, gagal menyuarakan pandangan kedua mengenai kes ini sehingga menyebabkan kedua-dua pemimpin itu begitu selesa meneruskan kehidupan masing-masing. Bandingkan dengan apa dibuat media Cina sehingga memaksa Soi Lek membuat pengakuan. "Saya tidak pernah mengatakan orang itu (dalam DVD) bukannya saya. Saya tidak pernah kata mereka perlu membuktikan yang sayalah orangnya. Malah saya tidak pernah kata ia (pita video itu) telah dipalsukan," katanya. Media bukan Melayu sebenarnya menunjukkan sikap lebih prihatin dan telus mengemukakan pandangan. Mereka sangat ke depan dalam mempertahankan maruah, imej dan kepentingan kaum mereka. Kes Soi Lek adalah bukti terbaru. Media Cina juga tidak teragak-agak melontarkan pandangan kedua termasuk terhadap apa jua polisi atau tindakan pihak kerajaan. Kita dapat meneliti kembali bagaimana media Melayu berusaha mewajarkan tindakan polis dalam kes tahanan wanita di lokap Balai Polis Petaling Jaya yang dipaksa ketuk-ketampi dalam keadaan berbogel dulu. Sebaik rakamannya didedahkan media akhir Jun 2005 lalu, akhbar-akhbar Cina memainkan peranan mendesak siasatan segera dan tindakan sewajarnya ke atas anggota polis terbabit. Media bukan Melayu, terutama berbahasa Cina juga sangat kritikal terhadap langkah kerajaan memperkenalkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Mereka tidak terkongkong oleh pemahaman kononnya akhbar arus perdana perlu menjadi penyokong kepada apa jua diputuskan kerajaan. Mereka bukan pak turut atau tukang ampu sebagaimana dilakukan media Melayu. Dalam isu demonstrasi jalanan yang berlaku di ibu kota dalam dua bulan kebelakangan ini, paparan media Melayu sangat prejudis dan sempit. Akhbar Cina dan Inggeris sebaliknya mengambil pendekatan berbeza. Mereka menyiarkan gambar perhimpunan yang didakwa haram itu. Liputan dan ulasan mereka juga banyak yang rasional dan waras. Ada disiarkan suara pemimpin masyarakat dan aktivis sosial yang menyeru agar kerajaan lebih terbuka di dalam mendengar dan menerima keluhan atau rayuan rakyat. Malah terdapat di kalangan kolumnis akhbar-akhbar bukan Melayu meluku secara sinis sikap pihak berkuasa yang tidak terbuka di dalam membenarkan rakyat berhimpun dan sentiasa melihat hanya penyokong kerajaan di pihak benar. Turut dipertikaikan ialah rasional bagi sebuah kerajaan meletakkan kecurigaan melampau terhadap rakyatnya sendiri, terutama dalam aspek keselamatan negara. Akhbar dan media sepatutnya menjadi penyalur maklumat tepat kepada masyarakat. Media sepatutnya mendidik masyarakat menjadi warga prihatin, bijak dan kritis, bukan sebagai pak turut atau golongan yang tidak mampu membuat pilihan bijak. Setakat ini, apa yang dilakukan media Melayu adalah sebaliknya. Mereka lebih berperanan sebagai agen propaganda parti pemerintah dalam usaha mengekalkan kekuasaannya. Bagi maksud itu, mereka tergamak melacurkan ketelusan dan kewarasan. Dalam Harakahdaily, 30 Disember 2007, Ahmad Lutfi menggarap hakikat ini. Tulisnya, "ketika pengundi Tionghua yang mudah akses kepada internet, manakala akhbar Cina sendiri lebih waras berbanding Berita Harian dan Utusan Malaysia" dikatakan bersedia mengundi pembangkang, masyarakat Melayu pula masih menghadapi gejala jurang maklumat yang serius, membuatkan emosi mereka lebih mudah digoda propaganda murahan Umno." HARAKAH
|