|
PUTRAJAYA: Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini meminta ibu bapa supaya tidak hanya pandai melenting meluahkan perasaan marah mereka jika diminta bayar lebih untuk pendidikan anak-anak mereka, sebaliknya menanya diri sendiri apakah sumbangan mereka kepada pihak sekolah. |
Katanya ada sesetengah ibu bapa yang tidak pernah menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau mana-mana aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah tetapi tiba-tiba melenting apabila kononya diminta membuat bayaran tambahan yang dikatakan mahal. "Sepatutnya ibu bapa menunjukkan keprihatinan dan keikhlasan untuk membantu pihak sekolah meningkatkan prestasi anak mereka tetapi keadaan bertukar sebalinya. Saya pernah melawat sebuah sekolah Cina yang mana ibu bapa melalui PIBG menyumbang untuk membersihkan tandas-tandas di sekolah tersebut. "Saya melihat PIBG menyediakan perpustakaan dan prasarana teknologi maklumat, ibu bapa juga proaktif, sanggup membantu sekolah dan menyediakan aktiviti yang mampu memanfaatkan pelajar," katanya selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Pelajaran di Taman Wetland di sini hari ini. Sementara itu Hishammuddin berkata beliau sudah mengingatkan pegawai pelajaran daerah dan sekolah supaya memastikan bahawa dasar kerajaan tidak pernah mewajibkan bayaran yuran tambahan benar-benar dilaksana. Beliau berkata sekiranya terdapat laporan ada sekolah yang mewajibkan bayaran tambahan itu, maka beliau meminta perkara itu dilaporkan terus kepadanya. Menteri itu berkata Kementerian Pelajaran tidak berniat untuk menyelaraskan yuran sekolah tambahan di semua sekolah kerana terdapat ramai ibu bapa yang berhasrat memberi lebih banyak sumbangan kepada sekolah demi kepentingan anak-anak mereka. "Ada ibu bapa yang merupakan jutawan, mereka mampu dan mahu memberi lebih banyak sumbangan kepada sekolah. Kita tidak mahu menyekat sumbangan mereka kepada sekolah. "Keputusan yang dibuat sekarang adalah penyelesaian menang-menang di mana ibu bapa yang mampu boleh menyumbang lebih banyak manakala mereka yang tidak mampu boleh memilih untuk tidak menyumbang," katanya lagi. Beliau bagaimanapun menegaskan, golongan ibu bapa yang betul-betul tidak berkemampuan boleh mengambil balik yuran tambahan yang dibayar kepada pihak sekolah. "Sumbangan RM25, RM30 kepada sekolah itu boleh diambil balik, sekolah tidak akan ditutup kerana kekurangan sumbangan tersebut. Nak minta (balik), mintalah. Itu (yuran tambahan sekolah) bukan suatu bayaran yang wajib," katanya. Tambahanya, hanya segelintir sekolah yang mengenakan yuran sekolah tambahan secara keterlaluan manakala selebihnya mematuhi peraturan yang ditetapkan. BERNAMA
|
Ibu bapa, sebagai pembayar, memang perlu bersuara jika yuran yang dikenakan lebih daripada yang sepatutnya kerana wang yang mereka keluarkan adalah hasil titik-peluh mereka sendiri. Ramai yang bekerja sebagai petani, nelayan, buruh kasar. Jika mereka yang bergaji tetap boleh merungut, apatah lagi golongn lain yang tak bergaji tetap?
Sebenarnya, sejak bertahun-tahun lagi ibu bapa dan guru-guru sendiri yang ada anak yang bersekolah telah merungut tentang kenaikan yuran setiap tahun. Namun mereka berdiam diri kerana agaknya masih mampu pada masa itu.
Kini, keadaan dah berubah. Kos hidup dah melonjak. Tekanan kerja bertambah. Ini pulak yuran sekolah naik hingga melebihi RM100 tidak termasuk buku-buku dan alat tulis. Tidak ada kawalan yuran untuk memastikan setiap sekolah mengenakan yuran yang tetap. Kementerian beri kebebasan walaupun tak 100% - inilah masalahnya. Kelemahan ini menyebabkan banyak sekolah mengambil kesempatan mengenakan yuran tambahan yang kononnya memanfaatkan sekolah, tapi duit yang dibayar entah ke mana.
Jadi, mana para ibu bapa tak merungut?