|
Oleh: Mohd Hakim Hakimi
Seorang lelaki Cina cedera di bahagian muka dan pinggang serta dibelasah di khalayak ramai oleh lelaki upahan penceroboh Skim Pekebun Kecil Tingkayu, Kunak yang masih dalam pertikian.
Ketika kejadian tersebut berlaku, lelaki Cina berkenaan, Lee Boon Tiek, sedang minum petang di kaki lima sebuah restoran di Simpang Empat Kunak bersama beberapa orang kenalan sebelum didatangi seorang lelaki bertatoo yang mengajaknya masuk ke dalan restoran berkenaan.
Seketika kemudian, Lee Kembali ke kaki lima untuk bersama kawannya namun diekori oleh lelaki bertatoo berkenaan yang memanggilnya berdiri sebelum mengayunkan satu tumbukan terkena pipi kiri dan matanya.
Lee melarikan diri tetapi dikejar oleh dua orang lelaki lagi yang mengepungnya dan cuba menumbuknya, namun tidak mengena kerana cuba dileraikan beberapa orang yang menyaksikan kejadian berkenaan.
Seorang lelaki yang keluar daripada sebuah Ninja King SS89D melemparkan seketul batu dan terkena pinggang lee menyebabkan dia jatuh ke dalam longkang namun segera naik dan melarikan diri dengan kenderaannya yang diletakkan berdekatan sebuah hotel di situ.
Kumpulan lelaki berkenaan mengejar Lee dengan dua buah kenderaan menuju ke arah lebuhraya Kunak-Tawau sebelum berhenti mengejar ketika Lee menghampiri Check-Point Polis Kunak-Semporna.
Lee terus ke Balai Polis Semporna untuk membuat laporan namun diarahkan ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan sebelum boleh membuat laporan polis. Lee hanya diperiksa oleh Pembantu Perubatan dan diminta datang balik pada jam 9.30 keesokan harinya kerana dia perlu diperiksa oleh seorang doktor, bukannya Pembantu Perubatan.
Lee kembali ke Balai Polis Semporna pada jam 8 malam, 5 Mei 2008 untuk membuat laporan polis KNK/RPT/838/08 yang berbunyi;
"Pada jam lebih kurang 5.15 petang, saya diserang dan ditumbuk seorang lelaki bertatoo yang dikenalpasti sebagai Pengawal Peribadi Alimuddin Mohd Ajay yang merampas tanah kami di Skim Pekebun Kecil, Tingkayu, Kunak dan mengingkari perintah mahkamah. Saya melihat dua orang laki lelaki yang cuba menyerang saya sehingga saya melarikan diri. Saya dikejar dan dikeroyok oleh tiga lelaki (pengikut Alimuddin) atas arahan Alimuddin yang ketika itu berada di dalam Ninja King berwarna putih. Saya melarikan diri dan memasuki kenderaan dan memandu ke Lebuhraya Kunak-Tawau dari lokasi kejadian di sebuah restoran di Simpang Empat Kunak kerana dikejar dengan dua buah kenderaan milik Alimuddin dan terus ke Balai Polis Semporna untuk membuat laporan agar polis menyiasat dan menangkap Alimuddin dan kumpulan samsengnya yang menyerang saya di khalayak ramai. Sekianlah laporan saya."
Untuk rekod, Lee telah membuat lebih 15 laporan polis terhadap Alimuddin yang telah menceroboh tanahnya di Tingkayu dan memotong jentera pengoreknya sebelum dijual sebagai besi buruk di JJ Recycling Centre di Kunak.Beberapa laporan polis juga di buat terhadap Ketua Polis Kunak kerana bersubahat dan enggan mengambil tindakan terhadap Alimuddin.
Serangan berkenaan dilakukan untuk menakutkan Lee yang selama ini tidak gentar berhadapan dengan pelbagai karenah Alimuddin demi memperjuangkan tanahnya yang dirampas sekalipun mahkamah telah meluluskan injunksi kepada pekebun kecil. Mengikut maklumat sahih yang diterima, Alimuddin telah dipecat koperasi kerana mengingkari perintah mahkamah dan menyebabkan koperasi mungkin kehilangan peluang untuk mendapatkan tanah berkenaan yang turut dituntut oleh seorang lelaki Cina, Lee Chee Ping, yang menjadi proksi kepada seorang pegawai kanan polis berpangkat datuk. Alimuddin dipercayai kini bekerja dengan Lee Chee Ping dan sering kelihatan bersama Ketua Polis Daerah Kunak yang merupakan rakan karibnya sehingga semua kenderaannya bercermin kelam gelap.
Kejadian ini merupakan serangan kekerasan yang pertama terhadap Lee yang enggan memberi kenyataan di Balai Polis Kunak setelah membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur atas alasan Polis Kunak tidak dapat berlaku adil disebabkan laporan juga dibuat terhadap Ketua Polis Daerah dan beberapa pegawai kanan polis.
Sebelum ini, Alimuddin telah menghadang perjalanan Lee dan rombongannya yang menghantar notis agar Alimuddin keluar daripada kawasan tanah seluas 4,000 ekar kerana Mahkamah Tinggi Tawau telah meluluskan injunksi kepada pekebun kecil.
Menurut saksi kejadian, lelaki yang memukul Alimuddin ialah pekerja ladang seorang pegawai kanan polis yang memiliki lebih 100 ekar tanah di kawasan Skim Pekebun Kecil dan menjadi pengawal peribadi Alimuddin dalam masa yang sama.
"Memang memalukan apabila seorang samseng berkenaan mencabar Lee membuat laporan polis di Balai Polis Kunak, seolah-olah mereka telah membeli polis Kunak," ujar seorang saksi yang minum di sebuah restoran berdekatan.
Lebih melucukan, ketika kejadian Ketua Polis Kunak, Dingka Utoh sedang bermain Golf di Padang Golf Mostyn dengan menaiki kenderaan kerajaan bersama rakan-rakannya ketika seorang saksi menelefon beliau untuk memberitahu kejadian serangan berkenaan yang membuatkan rakyat mempertikaikan soal keselamatan di Kunak.
Tidak ada sebarang pondok polis didirikan di pekan baru berkenaan walaupun lebih 25 kejadian pergaduhan dan serangan berkumpulan berlaku di kawasan tersebut.
Ketika ditemui di Lahad Datu selepas membuat laporan di Balai Polis Semporna, Lee berkata beliau tidak akan gentar dengan serangan bacul oleh lelaki berkenaan kerana memberi beliau kekuatan untuk mengumpul lebih banyak bukti untuk memenangi kes pertikaian tanah berkenaan di mahkamah.
"Saya tidak takut. Tapi serangan ini memberi gambaran buruk kepada imej polis," kata Lee yang telah menghubungi peguamnya untuk tindakan lanjut. 

CEDERA… Lee menunjukkan kecederaan mata dan pipinya yang cedera dalam serangan mengejut berkenaan. 
|