|
Pulau Pinang cetus ‘tsunami’ kedua, 11 ribu sertai keADILan |
|
|
|
Posted by admin
|
|
Wednesday, 14 May 2008 18:02 |
|
Oleh Zulkifli Mohamed
PERMATANG PAUH : keADILan Negeri Pulau Pinang mencipta satu lagi ‘tsunami politik’ di negeri itu, apabila parti tersebut menerima kemasukan ahli baru seramai 10,997 orang dalam tempoh dua bulan selepas menawan ‘negeri Perdana Menteri’ bersama rakan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Ketua Pembangkang Parlimen yang juga Presiden keADILan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menerima borang ahli baru tersebut yang diadakan di Dewan Orang Ramai di Tapak Ekspo Seberang Jaya, dekat sini baru-baru ini.
Majlis bersejarah itu turut meleburkan impian Malaysian Indian United Party (MIUP), yang pro Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato’ Nallakaruppan yang cuba bertapak di negeri itu, apabila ahlinya seramai 2000 orang yang diketuai Pengerusi MIUP Pulau Pinang, L. Balasubramaniyam mengumumkan keluar parti, sekaligus kesemua 13 bahagian penajanya dibubarkan.
Tiga belas bahagian itu ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Nibung Tebal, Bayan Baru, Balik Pulau, Jelutong, Bukit Glugor, Bukit Bendera, Tanjung dan Bagan.
Berucap pada majlis tersebut, Azizah berkata selepas 10 tahun berjuang untuk ketuanan rakyat, akhirnya rakyat negeri itu mencipta gelombang ‘Makhal Sakthi’.
“Kita mengalu-alukan mereka yang telah menyertai Parti keADILan Rakyat. Parti kita parti muda, parti bertenaga, parti kita berteraskan keadilan untuk semua,” ujarnya.
“Kita mahu semua rakyat Malaysia bersama-sama kita, marilah bersama-sama kita ubah sistem yang korup, sistem yang tidak adil dan sistem yang zalim,
“Insyaallah, kita boleh tukar kerajaan tidak lagi lagi,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin pula berkata apabila ketuanan rakyat dinobatkan, tidak ada mana-mana kuasa boleh menghalang kebangkitan rakyat, kecuali kekuasaan Tuhan. “Kita akan pastikan setiap inci, setiap ruang yang kita lakukan dasarnya akan menuju ke arah memastikan ketuanan rakyat terhasil di bumi bertuah ini,” tegasnya.
Turut berucap pada malam itu ialah Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrisnan, Adun Batu Uban, S Raveentharan dan Ahli Parlimen Jerai Ustaz Firdaus Jaafar.
|