|
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau yang mengarahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membuat aduan polis mengenai kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh mempertikaikan kuasa Sultan.
Perdana Menteri berkata ini akan membolehkan perkara itu dibawa ke perhatian Peguam Negara dan seterusnya ke mahkamah. Kenyataan Karpal Singh telah menimbulkan kemarahan ramai orang termasuk bukan Melayu, katanya. "Ia berupa hasutan dan dilihat rakyat sebagai menghina Sultan seolah-olah dia (Sultan) tidak tahu tugasnya. Itulah (yang) jadi gambaran," katanya kepada pemberita mengenai tindakan Tengku Adnan membuat laporan polis terhadap Karpal Singh petang ini. Abdullah sebelum itu merasmikan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia Kelima di sini hari ini, Khamis. Abdullah berkata beliau difahamkan ramai lagi akan membuat aduan polis kerana orang Melayu dan kaum lain rasa tersinggung dan marah dengan tindakan Karpal Singh itu. Mengenai kes pengendali dan penulis portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, Perdana Menteri berkata sesiapa yang menyalahi atau melanggar undang-undang, tentunya ada tindakan terhadap mereka. "Bila ada aduan maka tindakan akan diambil. Kalau salah, kena hadapi tindakan," katanya kerana negara mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi oleh setiap orang. Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz di Parlimen hari ini bahawa kerajaan tidak akan menggubal undang-undang mengenai "whistle blowers" (pemberi maklumat), Abdullah berkata pada waktu ini kerajaan belum lagi membuat cadangan tertentu mengenai perkara itu. "Kalau ada cadangan boleh dipertimbangkan," katanya. - BERNAMA
|