|
(MSTAR ONLINE) - “Saya melihat diri saya masih terlalu muda untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno,” kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau menegaskan tidak berminat untuk merebut jawatan Ketua Wanita dari penyandang kerusi itu, Datuk Seri Rafidah Aziz pada pemilihan parti Disember ini. Bagaimanapun, beliau menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam parti. “Melihat kepada situasi sekarang, tumpuan utama saya ialah untuk memperkukuhkan parti terlebih dahulu. “Saya tidak mahu dilihat sebagai mengambil peluang untuk bertanding jawatan tertinggi Wanita Umno dalam keadaan politik yang tidak stabil ini,” katanya lagi. Beliau berkata demikian dalam lawatan kerjanya ke Menara Star di sini, Selasa. Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang berkata maklum balas yang diterima daripada jawatankuasa yang memantau mengenai keputusan pilihan raya umum lalu mendapati reaksi pemimpin peringkat bawahan dan ahli agak kurang memuaskan. Beliau berkata pada tahap ini fokus utama pihaknya ialah dengan mengatur strategi untuk menguatkan Barisan Nasional dan Umno. Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung perbelanjaan mewah Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM), beliau menafikan terbabit dalam urusan perbelanjaan kewangan yayasan berkenaan. "Saya hanya penasihat dan saya tidak terlibat dalam pengurusan pentadbiran mahupun kewangan yayasan itu," tambahnya lagi. Azalina yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan menjelaskan bahawa kesilapan itu berpunca daripada bahagian audit yayasan berkenaan. Isu ini timbul ekoran pendedahan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mempersoalkan perbelanjaan geran tabung wang awam sebanyak RM1.4 juta bagi tujuan hiburan. Beliau juga amat berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pegawai WSFFM berhubung isu ini kerana tiada perkara yang melanggar undang-undang berlaku.
|