|
Oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Setiausaha Agung KUALA LUMPUR 1 Jan - Keadilan komited turun harga petrol dan cabar Najib bentang perbelanjaan hasil royalti dan dividen Petronas. Kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa negara akan muflis sekiranya harga runcit petrol diturunkan mencerminkan kegagalan Barisan Nasional untuk menguruskan kekayaan negara dengan baik.
Keuntungan Petronas seharusnya mencukupi untuk membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat dan pada masa yang sama pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan menggunakan untung itu bersama hasil-hasil kerajaan yang lain seperti cukai dan sebagainya. Keadilan mencabar Najib untuk membentangkan secara terperinci semua perbelanjaan yang telah dibuat oleh kerajaan menggunakan hasil petronas kepada Parlimen. Ini akan membolehkan Parlimen dan rakyat membuat penilaian sama ada benar hasil Petronas telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk pembangunan negara. Keadilan percaya hasil Petronas telah dibazirkan akibat korupsi dan pengurusan yang tidak tulus di dalam pengendaliannya oleh kerajaan BN. Kerajaan BN tidak berhemah dan cermat dalam membelanjakan hasil pendapatan negara milik rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk diuruskan dengan cekap dan jujur. Pembentangan Belanjawaan 2008 jelas menunjukkan perbelanjaan operasi negara yang melebihi RM 120 billion tidak boleh ditampung dengan kutipan hasil cukai pendapatan dan hasil cukai yang lain kerana perolehan ini akan hanya berjumlah RM 75 bilion. Kerajaan Barisan Nasional perlu berjimat cermat demi mengurangkan kos pengurusan dengan memberi keutamaan kepada produktiviti dan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan. Apabila mendapat mandat untuk membentuk kerajaan bersama parti-parti rakan, Keadilan komited untuk menurunkan harga runcit petrol meskipun harga petroleum di pasaran dunia terus meningkat, sebagaimana yang diamalkan di negara-negara pengeluar petroleum lain dunia. Dengan pembasmian rasuah dan pengurusan berhemah, hasil negara akan mencukupi bukan sekadar untuk tujuan pembangunan tetapi bagi memastikan rakyat dapat hidup selesa. Adalah jelas kerajaan BN tidak mampu memikirkan usaha untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Ini adalah kerana kerajaan BN sangat terikat dengan komitmen dan janji mereka kepada rakan politik yang mana telah dijanjikan tender dan kontrak. Sudah tiba masanya untuk Malaysia ditadbir oleh sebuah kerajaan yang cekap, bersih dan amanah; bukannya oleh kerajaan BN yang lemah, korup dan sudah muflis idea dan wawasan untuk mentadbir negara dengan cekap demi kepentingan rakyat.
|