|
Saya menafikan sekeras-kerasnya berita tulisan Zulkifli Mohamed yang dimuatkan dalam laman web Malaysia Today hari ini.
{mosgoogle right} Saya tidak pernah memohon untuk menjadi calon pilihanraya Parti Keadilan atau mana-mana parti sekalipun samaada parti pembangkang atau parti pemerintah.Yang berlaku akhir-akhir ini adalah pelawaan yang dibuat oleh beberapa parti politik (bukan Keadilan) menerusi pemimpin tertinggi mereka di peringkat pusat untuk saya bertanding atas nama parti mereka dengan tujuan agar agenda melawan rasuah yang diperjuangkan oleh GERAK akan menjadi lebih bermakna di dalam parlimen. Saya menghormati dan menghargai niat murni parti-parti tersebut tetapi membayangkan kemungkinan yang sukar untuk saya menerimanya kerana GERAK harus terus berdiri sebagai sebuah badan non-partisan untuk ianya terus diterima oleh semua lapisan masyarakat. Namun atas rasa penghargaan terhadap cita-cita perjuangan, saya sedia dan sedang memikirkan dan berbincang dengan aktivis GERAK kemungkinan bertanding di dalam pilihan raya akan datang tetapi hanya sebagai calon bebas. Justeru kenyataan Khir Toyo terhadap saya dan UMNO Selangor baru-baru ini juga tidak relevan kerana pertimbangan saya hanyalah sebagai calon bebas. Tidak timbul sama sekali soal menjadi calon UMNO. Kenyataan beliau itu mungkin bertolak daripada kebimbangan beliau sendiri terhadap kedudukan beliau di Selangor. Berita tentang saya memohon menjadi calon Keadilan adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Pendirian saya keluar dari Parti Keadilan Rakyat April tahun lalu adalah berasaskan kepada keyakinan parti tersebut telah dibiarkan untuk dikuasai oleh individu-individu oportunis dan unsur-unsur hiprokasi yang membelakangkan nilai dan semangat asal perjuangan reformasi. Keyakinan tersebut tetap tidak berubah sedikitpun sehingga hari ini. Malah berita fitnah dan berniat jahat tulisan Zulkifli Mohamed ini memperkukuhkan keyakinan saya. Permainan politik murahan dan tiada akhlak yang didalangi oleh pemimpin-pemimpin oportunis dan hipokrit di dalam Keadilan dengan menggunakan penulis upahan seperti Zulkifli Mohamed (yang juga ahli Keadilan) ini bukan perkara baru. Budaya jijik ini jugalah yang melatari suasana semasa saya meninggalkan Keadilan. Saya tidak berniat sama sekali untuk menyentuh urusan Keadilan. Cuma fitnah jahat yang mengugat maruah saya wajib saya pertahankan. Dan saya ingin nyatakan kesediaaan untuk bertempur dengan serangan fitnah seperti ini dalam apa keadaan sekalipun kerana bertempur bukan suatu yang asing bagi saya dalam perjuangan ini. Keputusan akhir saya untuk bertanding di dalam pilihan raya akan datang hanya akan diputuskan setelah mendapat pandangan segenap lapisan aktivis GERAK khususnya mahasiswa yang menjadi penggerak utama sekarang. Dan pertimbangan utama kami tentunya adalah terhadap cita-cita perjuangan melawan rasuah sebagai musuh nombor satu Negara. Penglibatan saya dan GERAK dalam pilihan raya akan datang adalah berdasarkan kepada pertimbangan tersebut kerana asas penubuhan GERAK adalah untuk meletakkan fokus utama perjuangan reformasi Negara ini melawan rasuah sebagai agenda utamanya. Mohamad Ezam Mohd Nor Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia)
|