|
KAMAL AMIR MENULIS RAKYAT Perak secara tiba-tiba dilanda tanda tanya apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah melantik baginda Raja Nazrin memangku jawatan sebagai Sultan di negeri Perak Darul Redzuan serta jajahan takluknya.

{mosgoogle right} Pertama kali memangku jawatan tersebut, Raja Nazrin diperkenankan atas alasan baginda Sultan Azlan dilantik menjadi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, namun permasyhuran tiga hari lalu menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat jelata kerana tidak diperjelaskan sebab musababnya ia dilakukan. Tiada khabar berita baginda Sultan gering atau berada dalam situasi berdukacita, tidak juga diberitahu kemungkinan baginda bakal bercuti keluar negara. Namun, yang pasti baginda Sultan memasyhurkan perlantikan Raja Nazerin sebagai pemangku Sultan meskipun baginda masih berada di dalam negeri. Lebih menimbulkan tanda tanya apabila permasyhuran tersebut dilakukan disaat-saat negara bakal membubarkan dewan rakyat untuk memanggil pilihan raya musim ke-12. Apakah sebenarnya disebalik permasyhuran tersebut? Hanya masa menentukan segala. Namun begitu bercakap tentang perbualan rakyat berhubung musim pilihan raya ke-12 yang bakal dipanggil oleh Abdullah Ahmad Badawi dalam waktu terdekat, ramai beranggapan ia merupakan “panggilan menempah maut” kerana geruh amarah rakyat terhadap pimpinannya bukan rahsia lagi. Meskipun dipacu pelbagai cerita kukuhnya keyakinan Barisan Nasional bakal mengulangi kejayaan seperti pilihan raya tahun 2004 namun yang pasti rakyat bagaikan tidak sabar-sabar lagi mahu menghukum Abdullah yang dilihat bukan sahaja gagal mengotakan janji menerusi manifesto kepimpinan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang, malahan rakyat melihat korupsi bagaikan satu kemestian dalam acuan kehidupan harian kalangan sidang wazirnya. Kerancakan kerajaan Barisan Nasional mengizinkan mencanaknya harga barangan di pasaran sejak dinaikkan harga minyak petrol, kadar bayaran tol, kadar tariff elektrik dan air, kehidupan sebegitu lelah yang cukup memeritkan rakyat jelata, pendapatan yang diperolehi sudah tidak seimbang dengan harga barangan, pertumbuhan ekonomi yang sekadar terangsang untuk dinikmati oleh kalangan kroni dan orang keliling, berulangkalinya Abdullah melakukan pembohongan demi pembohongan, kerakusan penguasa menyekat kebebasan bersuara, kepongahan sistem perundangan dan lebih mengecewakan apabila kedaulatan negara seakan dirapuhkan oleh acuan Abdullah Ahmad Badawi menerusi pembangunan Wilayah Iskandar untuk tergadai kepada kuasa asing (lihat kenyataan terbaru Tun Dr. Mahathir) menjadikan rakyat begitu mendidih darahnya untuk segera mengerjakan Abdullah bersama sidang wazirnya . Kerana itulah sebarang usaha Abdullah Ahmad Badawi memanggil pilihan raya kali ke-12 dilihat sebagai “menempah maut” kesan semakin serakahnya kemarahan rakyat terhadap kepimpinannya yang cukup sempang-peranang. Bukan sekadar janji yang ditabur langsung tidak boleh dipegang, malahan pelbagai pembangunan Selatan, Utara, Timur dan terbaru di Sabah adalah bagai menjala mimpi di siang hari. Wang rakyat dibazirkan hanya untuk mengayakan kalangan orang keliling serta anak beranaknya menerusi pembangunan Jambatan Kedua Pulau Pinang serta pembangunan tanpa restu rakyat Pulau Mutiara yang dianugerahkan kepada Patrick Lim lewat perancangan Pembangunan Bandar Intelek “Penang Global City Centre) yang dilihat cukup mengharu-birukan anak jati Pulau Pinang. Keyakinan kalangan penganalisa politik merasakan besar kemungkinan Barisan Nasional bakal mengalami kehilangan banyak kerusi Parlimen serta beberapa buah negeri jatuh ketangan parti Barisan Alternatif. Dari kajian yang dijalankan, kesukaran menjadi semakin payah untuk Barisan Nasional menawan kembali Kelantan dari Kerajaan PAS, kalaupun mungkin, Umno sekadar mampu menawan Parlimen Machang dan Gua Musang beserta lapan kerusi dewan Undangan Negeri sahaja. Prestasi Umno dilihat semakin 'laeh' disamping tercetusnya percaturan “chah keting” saling jatuh menjatuh antara satu sama lain di kalangan pimpinan Umno Kelantan. Malahan rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang pastinya merasa lebih seronok berada di bawah kepimpinan PAS kerana peruntukan kerajaan Pusat untuk pembangunan negeri tersebut dinaikkan berbanding dengan Terengganu. Dalam erti kata lain meskipun ditadbir oleh PAS namun Kelantan tetap membangun jua. Begitu juga keadaan di Terengganu, apabila Setiausaha Politik Abdullah Ahmad Badawi diwar-warkan semakin ghairah untuk segera menggantikan Idris Jusoh sebagai Menteri Besar di mana kesan dari cakap cakap tersebut, seluruh negeri Terengganu kini tersebar kiriman sms yang pastinya membuat rakyat Terengganu berfikir dua kali sebelum memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional. Antara kandungan sms tersebut berbunyi “masa kalah dan masa susah, seluruh tenaga kita digunakan setengah mati untuk kembali memenangi pilihan raya, bila BN berjaya kita masih seperti itu juga sedang orang lain terus menimbun harta berjuta. Kita yang bersusah-payah, sedangkan orang lain menikmati hasilnya.” Meneliti kandungan kiriman tersebut terselit rasa kecewa jentera parti yang merasakan seolah-olah tertipu oleh janji kosong Abdullah Ahmad Badawi selaku ketua Perhubungan Umno Terengganu ketika pilihan raya 2004 menjanjikan bulan madu yang indah namun hingga kini rakyat Terengganu terlopong begitu sahaja sedangkan Patrick Lim mengaut ratusan juta keuntungan dari acara hiburan Monsoon Cup serta pembangunan di persekitaran Pulau Duyong. Pulau Pinang sudah bagaikan pasti bakal diterajui oleh Barisan Alternatif apabila parti Keadilan dan DAP telahpun memeterai persefahaman meletakkan calon satu lawan satu, malahan masyarakat Tionghua di Pulau Pinang turut menzahirkan amarah yang meluap-luap melihat kebobrokan Patrick Lim serta Kamaluddin Abdullah rakus mengumpul kekayaan dari pembangunan PGCC serta Jambatan Kedua Pulau Pinang. Pergeseran yang bertali-arus di Perlis antara Shahidan Kasim dan Radzi Sheikh Ahmad pastinya tidak memungkinkan situasi selesa di negeri Indera Kayangan untuk menghadapi serangan Barisan Alternatif antara Keadilan dan PAS serta DAP di mana sejak lebih enam bulan lalu gerak kerja yang dilakukan begitu terancang. Begitu juga situasi paling celaru tercetus di Negeri Sembilan apabila Khairy Jamaluddin dikatakan mendominasikan senarai calon-calon dari Umno di mana diberitakan seramai 17 orang wakil rakyat dari Umno akan disingkirkan dari bertanding. Situasi sebegini pastinya menjadikan keadaan semakin parah untuk Barisan Nasional memperolehi kemenangan mudah. Malahan bekas Menteri Besar Tan Sri Isa Samad dan Rais Yatim juga dikatakan turut disingkirkan oleh anak muda keris berjulung dari Rembau. Kedah sejak awal-awal lagi dikatakan menghadapi saingan paling sengit, malahan tidak keterlaluan jika dikatakan negeri jelapang padi itu berkemungkinan menjunam untuk berada di bawah pentadbiran Barisan Alternatif Keadilan dan Pas. Kehadiran lebih 100,000 rakyat dalam ceramah umum pimpinan Keadilan Anwar Ibrahim bulan lalu di markas PAS merupakan bukti tanda semakin ramai rakyat Kedah kehilangan yakin berada dibawah pimpinan Mahadir Khalid bekas Setiausaha Politik Abdullah Ahmad Badawi. Seandainya benar terjadi keadaan tersebut apabila rakyat menafikan majoriti 2/3 pimpinan Abdullah Ahmad Badawi, apakah dia masih mahu menjadi “kupang tembaga” atau masih “terhegeh-hegeh” menawarkan dirinya sebagai teraju kepimpinan negara? Mahu tidak mahu sekiranya Barisan Nasional mengalami situasi sedemikian yang diramalkan lebih buruk dari pilihan raya 1999, Abdullah Ahmad Badawi seharusnya meletakkan jawatan untuk berundur. Malahan Tun Dr. Mahathir sendiri mengambil sikap berundur setelah mengalami kejutan musim pilihan raya 1999. Senario semasa politik tanah air sudahpun memperlihatkan situasi tidak menentu. Persoalan suruhanjaya siasatan kes Klip Video V.K Lingam semakin terburai pelbagai kebobrokkan dan salah laku pihak-pihak yang dilihat mencemarkan badan kehakiman. Rakyat semakin ghairah untuk bangun memberontak. Kejadian jenayah semakin mendadak di mana rakyat sudah merasa bagai tidak selamat lagi. Kematian demi kematian diberitakan tercetus dalam kejadian jenayah, rompakan, pecah rumah, kecurian, korupsi dan pelbagai bentuk jenayah termasuk kehilangan kanak-kanak begitu menggusarkan rakyat. Seharusnya sudah sampai masanya pembetulan pentadbiran dan politik negara segera dilakukan sebelum keadaan menjadi semakin parah. Demi mengelakkan sebarang bentuk revolusi tercetus maka sudah sampai masanya pembetulan secara drastik segera dilakukan. Perlu diingatkan apabila revolusi terjadi maka apinya tidak mungkin mampu dipadamkan . Malahan bijak pandai ada menyatakan “ sekali revolusi terjadi maka ia pasti akan berulang”. Rakyat yang cinta damai, rakyat yang selama ini begitu harmoni kehidupannya di bawah system Raja Berperlembagaan berpakiskan kepada Rukun Negara tidak mungkin bersedia atau rela tercetusnya sebarang api revolusi. Sebelum keadaan menjadi semakin parah, seharusnya diperbetulkan pelbagai kebejatan yang telah melanda bumi merdeka ini. Jika Thailand boleh merelakan berlakunya pembetulan secara militer apakah tiada kemungkinan pembetulan yang diperuntukkan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan berhubung Fasa 50 dapat dilakukan? Dan untuk tugas memperbetulkan kembali situasi yang sebegitu sempang peranang kesan kepongahan Abdullah Ahmad Badawi, jasa baik baginda Sultan Azlan Shah yang mempunyai latar belakang sebagai Bekas “Lord Presiden” atau Ketua Hakim Negara tentunya amat dinantikan oleh rakyat. Apakah dengan permasyhuran Raja Nazerin memangku jawatan Sultan Perak Darul Redzuan merupakan isyarat awal akan adanya pembetulan politik di negara yang selama ini kukuh menjalin ikatan muhibbah berbilang kaum bakal terlaksana? Perak mencetuskan Perjanjian Pangkor dan Istana Perak membuktikan kerana tidak bersedia bumi tercinta dijajah, lahir Maharajelela bersama Si Puntum dan Pandak Pah menentang kebejatan residen Inggeris. Meskipun terpaksa mengalami kehilangan takhta namun Raja Abdullah lebih rela menempuhnya demi rakyat dan bumi tercinta terselamat dari perkosaan penjajah. Dan Umno lahir di Istana Iskandariah, Bukit Chandan sebelum dinobatkan di Istana Johor (sila rujuk catatan sejarah), apakah akan adanya campurtangan istana untuk menyelamatkan bumi bertuah ini? Fikir-fikirkanlah.
|