Beliau menegaskan, sebagai anggota kepada sebuah parti, mereka tertakluk kepada apa jua keputusan serta peraturan dan disiplin yang telah ditetapkan.
“Mana-mana pemimpin, mereka perlu terima hakikat yang mereka boleh dipilih atau mungkin tidak terpilih.
“Itu adalah satu realiti apabila kita berada dalam parti atau kita sebagai seorang anggota parti,’’ katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Pemenang Anugerah Pelajar Terbaik ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah) Kolej Universiti Sunway di sini hari ini.
Najib, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mengulas kenyataan beberapa pemimpin UMNO mengenai kedudukan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa bersedia tidak dicalonkan, manakala Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad berkata, beliau tidak akan merajuk jika tidak terpilih sebagai calon.
Terdapat juga desas-desus bahawa ada menteri yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ada juga pemimpin peringkat DUN akan bertanding di Parlimen.
Najib mengakui dalam situasi pilihan raya semakin hampir, golongan pemimpin akan menjadi serba tidak kena kerana dalam tempoh itu mereka terpaksa menjawab soalan sama ada terpilih sebagai calon atau tidak.
“Apabila ada orang yang bertanya termasuk pihak media (sama ada dipilih atau tidak) mereka ini menjadi serba salah. Hendak jawab terpilih tidak boleh kerana ia melangkaui keputusan Perdana Menteri dan nanti orang kata melampau pula.
“Jika jawab tidak terpilih, mungkin akan timbul pelbagai tafsiran. Pendek kata, dalam tempoh ini pemimpin-pemimpin kita berada dalam keadaan yang serba tidak kena,’’ katanya.
Ditanya sama ada pengakuan yang mereka bersedia untuk tidak dicalonkan sebagai satu usaha meraih simpati atau melobi, Najib berkata: “Tidak ada. Bagi saya lobi atau sebaliknya tidak menjadi masalah kerana keputusan akhirnya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.’’
Menjawab soalan sama ada terdapat pemimpin yang kini telah memberi petunjuk bahawa mereka berminat menjadi calon, katanya, ada pelbagai cara digunakan.
Saya dengar suara rakyat Malaysia dengan begitu kuat sekali sampai sini di California nakkan satu 'TOTAL' perubahan untuk generasi muda masa depan. Wahai rakyat Malaysia yang saya hormati, biarkan suara rahmat ini kedengaran di seluruh negara, dari Utara ke Selatan maupun dari Timur ke Barat. Sudah tiba masanya untuk kita "GEGARKAN' pintu UMNO.