|
Oleh Zulkifli Mohamed SBERANG JAYA: Pulau Pinang bakal diterajui pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum ke-12 nanti. Difahamkan kabinet bayangan untuk menerajui kerajaan negeri juga telah dirangka.
{mosgoogle right} Selain faktor senario semasa, hubungan jitu sesama pembangkang, ‘kerajaan menanti’ itu juga dikatakan mempunyai ‘formula rahsia’ untuk merealisasikan impian tersebut. Tanpa menjelaskan maklumat lanjut tentang formula tersebut, Pengarah Pilihan raya keADILan Pulau Pinang Mustafa Kamal Yusof, memberitahu berdasarkan analisa terkini pihaknya berkeyakinan tinggi Pulau Pinang bakal diterajui pembangkang. “Mood kemarahan rakyat kepada kerajaan sekarang begitu memuncak,” jelasnya yang cukup yakin mood itu akan diterjemahkan di atas kertas undi. Contohnya, kata Mustafa masyarakat India bukan setakat marah kepada kerajaan, tetapi telah hilang kepercayaan kepada pimpinan Umno-BN. “Begitu juga dengan mood kaum Cina dan Melayu, yang mana keadaan ini sukar dibendung oleh kerajaan,” jelasnya. Beliau ditemui selepas mempengerusi mesyuarat OPS Tawan Pulau Pinang, yang dihadiri Pengarah-pegarah KADUN seluruh negeri di Pejabat Negeri di Taman Kelasah, dekat sini baru-baru ini. Mustafa berkata agenda menawan Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang mustahil, biarpun berdepan pelbagai cabaran. Tambahnya pihaknya juga telah bersedia dengan ‘serangan’ fitnah dan isu perkauman yang akan dimainkan oleh Umno negeri ini. “Kita sedar Umno akan meniupkan api perkauman dan fitnah di kalangan pengundi Melayu bagi meraih sokongan, tapi kita bersedia menghadapinya, atas sifat kita parti untuk semua kaum,” ujarnya. Simulasi pilihan raya Sementara itu, Pengerusi Biro Latihan keADILan negeri Idrus Ibrahim berkata jentera pilihan raya negeri telah diberikan latihan secukupnya bagi menghadapi pilihan raya kali ini. Jelas Idrus pihaknya akan mengadakan simulasi pilihan raya yang membabitkan seluruh jentera negeri pada 2 dan 3 Februari depan di kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pulau Betong dan Batu Maung. “Latihan ini bertujuan menguji keberkesanan jentera parti dalam menghadapi situasi pilihan raya sebenar,” jelasnya. Difahamkan Ketua Umum keADILan Anwar Ibrahim akan turut terbabit dalam simulasi pilihan raya tersebut. Pulau Pinang unik Tidak seperti negeri-negeri lain, Pulau Pinang agak unik. Inilah satu-satunya negeri yang majoriti pengundi Cina melebihi pengundi Melayu. Dengan jumlah pengundi seramai 691,213 orang, pengundi Cina mewakili 56.15 peratus, Melayu 31.65 peratus, India 10.40 peratus dan kaum lain 1.74 peratus. Negeri ini mempunyai 13 kawasan parlimen dan 40 kerusi DUN. Daripada jumlah itu kawasan DUN majoriti Cina meliputi 25 kawasan sementara majoriti Melayu membabitkan hanya 15 kerusi. Pada 9 Januari lepas, keADILan dan DAP negeri ini telah memeterai perjanjian untuk menentang BN secara satu lawan satu. Dalam permuafakatan tersebut, DAP akan bertanding hanya 19 kerusi DUN manakala keADILan dan PAS akan bertanding di 21 kerusi DUN; dengan jumlah majoriti DUN akan ditandingi oleh keADILan. Sementara itu,menurut Pengarah Piliha raya Keadilan Pusat Azmin Ali, komposisi kaum di 21 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada keADILan dan PAS adalah seperti berikut: Kerusi majoriti Melayu lebih 65 % : 10 DUN kerusi majoriti Melayu antara 50 % - 64 % : 5 DUN Kerusi majoriti Cina lebih 65 % : 2 DUN kerusi majoriti Cina lebih 50 % - 64 % : 2 DUN Kerusi campuran Melayu / Cina : 2 DUN keADILan, PAS tanding 21, Umno 14 kerusi Jelasnya berdasarkan komposisi kaum, keADILan dan PAS sudah pasti akan bertanding di 15 DUN kawasan majoriti Melayu. Untuk rekod, Umno hanya mewakili 14 DUN kawasan majoriti Melayu di Pulau Pinang. KeADILan juga jelas Azmin, membuktikan kemajuan yang positif dalam pembahagian kerusi dengan bertanding di dua kerusi DUN yang mempunyai komposisi orang Tionghua melebihi 70 % iaitu di Bukit Tambun dan Kebun Bunga. “keADILan akan meletakkan calon-calon Tionghua yang berwibawa dan mempunyai potensi besar untuk menang di kawasan majoriti Cina dan juga kerusi-kerusi campuran.” jelasnya. “Terdapat 2 kerusi DUN yang akan ditandingi oleh keADILan dan mempunyai jumlah pengundi India yang agak signifikan iaitu di Bukit Tengah dan Bukit Tambun. Komposisi kaum India di Bukit Tengah ialah 18 % manakala di Bukit Tambun sejumlah 16 %,” katanya. Pilihan raya 2004, berlaku pertandingan tiga penjuru membabitkan Keadilan, DAP dan BN di DUN Bukit Tambun, Bagan Dalam dan Sungai Pinang. Tapi apa yang pasti kali ini tidak akan berulang episod pertandingan tiga penjuru di kalangan pembangkang. Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng: “Ini merupakan keputusan muktamad yang dicapai antara DAP dan Keadilan, dan kami berharap selepas ini kami dapat menumpukan sepenuh perhatian pada proses pilihan raya tidak lama lagi.” Jamin kepentingan Melayu tanpa abai kaum lain Bagi Azmin, permuafakatan pilihan raya yang dimeterai oleh keADILan dan DAP, jelas membuktikan kesediaan dan kesungguhan parti-parti politik di luar kerajaan untuk menubuhkan negara madani pimpinan Anwar menjelang Pilihan Raya Umum ke-12. “Usaha yang sama akan disempurnakan dengan PAS dalam masa yang terdekat,” ujarnya. Menurut Azmin, keADILan bertekad dan berikrar akan terus menjamin kepentingan orang Melayu Pulau Pinang. Kepimpinan Anwar Ibrahim akan memberi tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. keADILan juga katanya akan mencetuskan gagasan untuk memperkasa kekuatan ekonomi kelas menengah dan rendah di kalangan orang Melayu dan bumiputera di Pulau Pinang. “keADILan mengajak rakyat Pulau Pinang untuk berani membuat perubahan dalam pilihan raya yang akan datang. Muafakat di kalangan parti-parti keADILan, DAP dan PAS di Negeri Pulau Pinang adalah asas yang menjanjikan negara madani demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya yang juga Naib Presiden keADILan.
|
DGN SYARAT TAK ADA BLACK MAGIC DRP SPR