A+ | A- | Reset
Home

Geran kampung baru, Jus Soli dan kemahiran berbohong Umno PDF Print
Posted by admin   
Monday, 19 January 2009 15:52

Ahmad Tajdid, HARAKAH

SENTIMEN kaum dan agama nampaknya terus dimainkan Umno bagi kembali meraih sokongan masyarakat Melayu negara ini. 

Lebih memualkan lagi apabila tiupan semangat tebal perkauman dan agama itu disulami dengan pendustaan dan pembohongan tanpa henti; seolah-olah soal moral, etika dan akhlak tidak ada dalam kamus para pemimpin Umno.

Lihat sahajalah isu penganugerahan geran hak milik kekal kepada para penduduk kampung baru di Perak yang dijadikan modal politik Umno negeri.

Dan bagi lebih menarik simpati, titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di ibu kota, 16 Januari lalu cuba diputarbelitkan Umno untuk menggambarkan kononnya pihak istana Perak juga tidak memperkenankan tindakan itu.

Isu ini berbangkit apabila kerajaan negeri mengambil langkah mengurniakan geran hak milik kekal kepada kampung baru dan kampung tersusun.

Program membabitkan 149,000 lot tanah itu cuba dipolitikkan Umno negeri kerana kononnya ia memberi kelebihan kepada penduduk Cina yang duduk di kampung baru. Penganugerahan hak milik kekal ini juga disifatkan sebagai "menggadaikan maruah bangsa dan agama" oleh seorang Menteri Umno. Malah Menteri Besar Perak dianggap menuruti telunjuk DAP kerana sanggup menganugerahkan geran hak milik selama 999 tahun kepada penduduk Cina kampung baru dan hanya 99 tahun kepada penduduk Melayu di kampung tersusun.

Malah Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) yang ditunggangi Umno, Datuk Seri Hilmi Ismail mendesak Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana gagal menjadi 'dahan' kekuatan orang Melayu dan sanggup 'menggadai' maruah yang ada demi kepentingan politik semata-mata.

Begitulah bersemangatnya pemimpin Umno dalam "membela orang Melayu" sehingga menganggap pemberian lot tanah kediaman kepada kaum Tionghua yang telah menetap puluhan tahun di kampung baru sebagai "menggadai hak Melayu".

Apa yang gagal diceritakan pemimpin Umno negeri kepada umum adalah selain 134 kampung baru (yang sebenarnya turut diduduki oleh kaum Melayu dan India), kerajaan negeri turut memberikan hak milik kekal kepada 349 kampung tersusun yang kesemuanya diduduki oleh orang Melayu!

Adakah keputusan memberikan hak milik kekal kepada kampung tersusun ini juga boleh dianggap sebagai "mengkhianati hak Melayu"?

Nizar ketika menjelaskan isu ini berkata, penganugerahan hak milik tanah kepada 47,000 penduduk kampung baru hanya membabitkan 3,000 ekar (1,200 hektar) tanah sedangkan ketika Perak di bawah penguasaan BN, lebih banyak tanah negeri itu telah tergadai kepada orang bukan Melayu.

Antaranya penganugerahan lebih 10,000 ekar tanah kepada MCA untuk membina kampus Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).

Dakwaan kononnya kerajaan negeri memberikan hak milik tanah selama 999 tahun kepada kampung baru turut dinafikan Menteri Besar, tetapi terus dicanangkan 'sebagai betul' oleh pemimpin Umno negeri.

Cubaan memutarbelitkan titah ucapan Dr Raja Nazrin berhubung teguran raja-raja Melayu terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu juga sebenarnya 'menampar muka' Umno.

Teguran Raja-raja Melayu yang dizahirkan dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950 itu sebenarnya merujuk kepada Rancangan Briggs yang dilancarkan Sir Henry Gurney ketika era darurat di Malaya (1948-1960).

Ketika ghairah menimbulkan satu episod dalam sejarah negara, pemimpin Umno tidak langsung mahu membicarakan episod yang lebih penting daripada Rancangan Briggs iaitu sokongan Umno terhadap prinsip kerakyatan Jus Soli yang diperkenalkan British.

Jika rancangan Briggs sekadar memindahkan masyarakat Cina yang duduk di pinggir-pinggir hutan ke satu perkampungan tersusun yang dikenali sebagai kampung baru (untuk mengelak mereka dipengaruhi anasir komunis); Umno melalui sokongannya terhadap Jus Soli bersetuju memberi hak kerakyatan kepada pendatang India dan Cina ke Tanah Melayu.

Dan adakah bantahan Umno terhadap pemberian hak milik kepada penduduk kampung baru membawa erti bahawa Umno bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada penduduk Cina dan India tetapi tidak bersedia untuk mereka diberikan tapak rumah kediaman?

Dan jika penduduk kampung baru tidak layak diberikan geran hak milik untuk tapak kediaman semata-mata kerana mereka berbangsa Cina, mengapakah kerajaan BN pimpinan Umno sanggup memberi peluang kepada rakyat Singapura yang majoritinya berbangsa Cina membeli hartanah di negara ini termasuk di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang terletak di selatan Johor - negeri paling kuat pengaruh Umno dalam dunia?

Umno juga perlu menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung hak milik tanah termasuk penganugerahan puluhan ribu hektar tanah kepada taikun-taikun Cina oleh kerajaan BN pimpinan Umno antaranya Vincent Tan dan Lim Goh Tong.

Umno juga tidak harus melupakan nasib malang yang menimpa orang Melayu di Kerpan, Kedah; Pantai Kundor dan Pantai Tanah Merah, Melaka dan beberapa negeri lain yang dihalau keluar daripada tanah tumpah darah mereka semata-mata untuk memberi laluan kepada projek-projek mega kerajaan BN.

Jenayah Umno terhadap Melayu sebenarnya terlalu banyak untuk diungkit. Ia tidak melayakkan parti itu untuk mendabik dada sebagai "pembela maruah Melayu".

Apa yang boleh 'dibangga' dengan Umno cumalah kemahiran untuk berbohong dan memainkan sentimen bangsa dan agama bagi satu tujuan - mengekalkan kuasa!
Comments (8)Add Comment
...
written by asguard, January 19, 2009 16:02:07
Dah jadi Tiga Suku ...nak lagi percaya UMNO? Dengan dosa besar pernah dilakukan oleh UMNO!
report abuse
disagree 1
agree 17
...
written by aryn, January 19, 2009 16:32:45
Jadi lah seorang manusia. Kalau punya kuasa untuk memberi tanah kepada yang berhak, beri kan lah. Jangan merujuk kepada sejarah yang tidak membawa berkat kepada rakyat Malaysia am nya.

Raja raja juga harus adil terhadap semua warga Malaysia bukan mengarah kepada satu bangsa saja. Pakatan Rakyat ada lah kerajaan untuk rakyat bangsa Malaysia. Jadi harta nehara harus bagi rata rata. Bukan dimakan oleh sekolompok manusia , pemimpin atau kroni mereka seperti umno dan kroni2.
report abuse
disagree 0
agree 14
...
written by Tompios, January 19, 2009 16:43:51
Manusia UMNO tidak melihat bagaimana situasi yang telah dihadapai oleh penduduk-penduduk di Kota Paris, London, Lisbon dan banyak lagi di negara-negara maju. Penganugerahan tanah ini adalah jalan yang terbaik untuk mengurangi birokrasi yang kusut di masa depan. UMNO 51 tahun memerintah tidak melihat keperluan ini. Maklumlah BN tidak berminat dgn permasalahan rakyat.
report abuse
disagree 0
agree 10
...
written by AUTAR, January 19, 2009 19:58:59
Saya yakin pemimpin pemimpin dan ahli ameno yang baru balik dari Terengganu sekarang ni sedang bercakap seorang seorang bak orang gila talak.
report abuse
disagree 0
agree 2
...
written by ksmaniam, January 19, 2009 20:04:00
Ahmad,
Terima kasih kerana memberikan kita senario yang lebih tulus dan betul.
report abuse
disagree 0
agree 3
...
written by othman hitam, January 19, 2009 20:24:28
Apabila penipuan cuba di tutup dengan penipuan baru dan cuba di tutup lagi dengan penipuan baru...akhirnya, kebenaran terserlah. 51 tahun, itulah jangka hayat kebanyakkan dinasti yang zalim..., insyaAllah
report abuse
disagree 0
agree 2
...
written by SamSan, January 19, 2009 21:19:57
Only Pak Lah can revive UMNO back to its old glory days by fulfilling his 2004 electoral promises. For that UMNO must give him 2 years of undivided trust and total loyalty where party comes first. Pak Lah efforts in combatting corruption and total revamp of the legal arm of the government should not be obstructed by UMNO warlords who are more worried about their vested interest rather than the overriding interest of the party and its cause.
report abuse
disagree 1
agree 1
...
written by Msahibul56, January 19, 2009 22:40:23
UMNO - parti skim cepat kaya yamg kebanyakkan daripada pemimpin-pemimpinnya terdiri daripada orang-orang munafik. Mereka kata ini tapi buat itu,
(UMNO - the get-rich quick party, whose leaders comprise the biggest hypocrites. They say this but do that).
report abuse
disagree 0
agree 2

Write comment
This content has been locked. You can no longer post any comment.
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
 
The Silent Roar
 BUY THE BOOK HERE
 **STOCKS NOW AVAILABLE**
 
** SPONSORED LINKS **
Will NATO become a global army? More..
Some Images Hosted With
Thank You ImageShack!
 BLOGGERS AGAINST ISA
People's Declaration

Powered and Optimized for:
Malaysia Today by MT-TEAM