|
Kongres PKR: Wanita bawa 3 usul |
|
|
|
Posted by admin
|
|
Tuesday, 25 November 2008 10:11 |
oleh Syukree Hussain
Kuala Lumpur, 25 November - Wanita PKR akan membawa tiga usul utama semasa Kongres parti itu yang dijadualkan bermula Jumaat ini.
Antaranya ialah Wanita mencadangkan hanya wanita yang berusia 40 tahun ke bawah dibenarkan berada dalam sayap Wanita, selebihnya menyertai parti diperingkat Pusat.
Menurut ketuanya, Zuraida Kamaruddin, usul ini menunjukkan Wanita adalah bersikap terbuka dan tidak mementingkan diri dalam memberi peluang kepada ahli parti yang berkebolehan menjawat jawatan penting," jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Ampang itu, penyerapan ini bertujuaan untuk mempersiapkan Wanita bagi menghadapi pemilihan parti pada 2010.
"Dalam dua tahun dari sekarang, kita akan membuat pelbagai program untuk wanita terutama bawah umur 40 tahun supaya menjadi lebih matang untuk menghadapi suasana politik yang kian mencabar," katanya dalam sidang media pada Ahad lalu, mengenai persiapan menghadapi kongres parti akan datang.
Selain itu, katanya, Wanita turut mengusulkan agar diwujudkan satu sistem dimana sekiranya seseorang Adun atau ahli Parlimen melakukan kesalahan yang serius, mereka perlu meletakkan semua jawatan yang dipegang.
Menurutnya, mereka yang seperti ini tidak wajar berada di Dewan Rakyat atau Dewan Negeri kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti negara.
Usul yang ketiga pula adalah supaya salah satu daripada jawatan Naib Presiden parti dijawat oleh wanita.
"Ini bertujuan menunjukkan kesungguhkan PKR dalam merealisasi, 30 peratus penglibatan wanita dalam parti dalam membuat keputusan dasar," ujar Zuraida.
Turut hadir ke sidang media itu ialah Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Mohd Talha.
Kongres Wanita PKR akan diadakan pada 28 November ini di Shah Alam yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti, Dr Syed Husin Ali.
Dijangkakan lebih 10,000 perwakilan dan pemerhati akan hadir ke kongres tersebut.
|