A+ | A- | Reset
Home

Cari rumah ke rumah - kesan Sharlinie PDF Print
Monday, 21 January 2008 06:48

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Selepas lebih 10 hari Sharlinie Mohd. Nashar, 5, hilang dipercayai diculik, polis menggerakkan strategi baru untuk mengesan kanak-kanak itu dengan melancarkan operasi mencarinya dari rumah ke rumah di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah mengarahkan semua ketua polis daerah (KPD) melaksanakan gerakan itu serta-merta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di sini hari ini, beliau memberitahu, strategi tersebut telah mula dilaksanakan oleh semua KPD di sekitar Lembah Klang sejak beberapa hari lalu.

“Bagi KPD di luar Lembah Klang termasuk Sabah dan Sarawak, arahan telah diberikan supaya mereka menjalankan operasi sama di kawasan masing-masing secepat mungkin,” katanya.

Musa menambah, operasi mencari itu juga akan meliputi semua kawasan yang disyaki menjadi tempat Sharlinie disimpan atau lokasi persembunyian penjenayah.

“Dalam hal ini, kalau kami dapat sebarang maklumat daripada orang awam, walaupun belum dipastikan kesahihannya, kami akan gerakkan operasi mencari besar-besaran dari rumah ke rumah di lokasi yang dinyatakan.

“Selain itu, semua KPD juga perlu melancarkan operasi di lokasi-lokasi yang berpotensi memberi petunjuk seperti di kawasan-kawasan setinggan dan rumah tinggal,” ujar beliau.

Musa yakin arahan itu dapat dilaksanakan di seluruh negara tanpa sebarang masalah.

Sharlinie yang akan genap berusia enam tahun pada 30 Januari ini hilang dipercayai diculik pada kira-kira pukul 11.30 pagi 9 Januari lalu. Ketika itu kanak-kanak berkenaan dalam perjalanan pulang bersama kakaknya, Sharliena, 8, dari taman permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.

Ekoran itu, polis melancarkan gerakan mencari kanak-kanak malang tersebut berdasarkan petunjuk-petunjuk termasuk kaitan kehilangannya dengan satu kes culik lain di taman yang sama sehari sebelumnya melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun, Nur Fatiha Zaidi.

Berjuta-juta poster Sharlinie termasuk yang dicetak akhbar Utusan Malaysia diedarkan di seluruh negara dan ditampal di pintu-pintu masuk di sempadan dan lapangan terbang.

Pelbagai pihak mengambil inisiatif mengedarkan poster-poster Sharlinie. Ada bank menampal gambar Sharlinie pada mesin pengeluaran automatik (ATM) bagi membolehkan para pelanggan bank itu membantu mencari kanak-kanak berkenaan.

Kes kehilangan Sharlinie turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merayu penculik kanak-kanak itu supaya memulangkannya kepada keluarga secepat mungkin.

Atas arahan Musa sendiri, pihak polis menubuhkan sebuah pasukan khas sehari selepas kehilangan Sharlinie melibatkan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Polis Kontinjen Selangor.

Sehingga hari ini, polis Petaling Jaya sahaja telah melakukan pemeriksaan ke atas 10,000 rumah di daerah itu bagi mencari Sharlinie namun belum ada petunjuk yang dapat menemukan pihak berkuasa dengan kanak-kanak itu.

Penyelesaian kes Sharlinie diharapkan turut dapat menyelesaikan beberapa kes lain yang belum diselesaikan oleh polis termasuk penculikan empat kanak-kanak di Kampung Baru di sini pada tahun lalu dan juga kes culik dan bunuh Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin.

Kes-kes itu dikaitkan dengan lelaki dipanggil ‘Abang Kucing’ yang menggunakan modus operandi memujuk mangsa-mangsa membantunya mencari kucing atau burung yang hilang.

Diperketatkan

Dalam pada itu, Musa memberitahu, beliau juga telah mengarahkan supaya kawalan di sempadan diperketatkan bagi menghalang cubaan melarikan Sharlinie ke luar negara dan menyekat penjenayah yang menculiknya daripada lolos.

Pada masa yang sama, katanya, beliau sendiri telah menghubungi polis Thailand dan Singapura memaklumkan kehilangan Sharlinie dan meminta kerjasama pasukan keselamatan negara-negara jiran itu membantu mengesan kanak- kanak itu.

“Saya juga puas hati dengan penglibatan banyak pihak dalam kes Sharlinie. Ia usaha yang baik dan kalau ada maklumat betul sila lapor kepada polis... pastikan ia bukan maklumat palsu,” katanya.

Mengenai pandangan sinikal sesetengah pihak dan masyarakat terhadap kredibiliti polis dalam menangani kes Sharlinie berikutan kegagalan pasukan polis menyelesaikan jenayah culik lain termasuk kes Allahyarham Nurin Jazlin, Musa berharap orang ramai terus menaruh kepercayaan kepada polis.

Katanya: “Polis harap orang ramai bantu salurkan maklumat sahih kepada polis. Selagi maklumat tidak ada, susah untuk kita menyelesaikan kes ini dan juga kes lain kerana tiada siapa nampak kejadian culik itu berlaku.

“Setakat ini banyak maklumat yang diberi tidak betul. Jika kita ada maklumat yang telus seperti nombor kenderaan yang digunakan atau maklumat mengenai suspek, sudah pasti ia memudahkan siasatan.”

Sementara itu, beliau berharap keluarga Sharlinie banyak bersabar dan berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk di mana kanak-kanak itu sekarang atau semoga hati penculiknya dilembutkan untuk memulangkan semula Sharlinie.

“Saya sendiri rasa geram selagi tidak dapat tahan penjenayah itu.

“Sharlinie bukan saja anak kepada ibu bapanya tetapi dia sudah seperti anak saya sendiri. Begitu jugalah perasaan pegawai-pegawai polis lain yang terlibat mencarinya,’’ kata Musa.

Comments (2)Add Comment
...
written by Bigjoe99, January 21, 2008 07:51:58
This whole thing to me smells like a publicity campaign for the police then real campaign. Did anyone explain to the parents that statistically, the chances of finding a kidnapped victim after 48 hours is very very small? Why did they not do house to house search from the start?

This thing smells just a cover up for the ills of the system.
report abuse
disagree 1
agree 3
...
written by Benny, January 22, 2008 02:58:06
Election coming la..summo if they go house to house they can tell how good is BN in fighting crime bla bla bla...

Just another BN gimmick...Satu lagi projek Barisan Nasional
After election,petrol naik,barang naik,ISA mari,water canon mari,tear gas mari dan macam macam lagi!
report abuse
disagree 0
agree 1

Write comment
This content has been locked. You can no longer post any comment.
You must be logged in to a comment. Please register if you do not have an account yet.

busy
 
< Prev   Next >
 
Some Images Hosted With
Thank You ImageShack!
 BLOGGERS AGAINST ISA

Powered and Optimized for:
Malaysia Today by MT-TEAM