|
Oleh: 'Deep Throat' Sabah Setelah dilaporkan terbabit dengan Skandal Seks bersama pegawai AMBank Labuan, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal menerima satu tamparan hebat apabila subkontraktornya membuat laporan polis terhadapnya atas tuduhan menipu dengan niat mala fide.
Subkontraktor terbabit, Hazreeq Putra Bin Hasman, 28, yang mewakili syarikatnya, Nautika Innovasi Sdn. Bhd. membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu setelah menyedari beliau di tipu oleh Ahli Parlimen berkenaan yang menjadi Pemilik Saham terbesar dan Pengarah Urusan, Labindo Engineering Services Sdn. Bhd. Dalam laporan polisnya yang di buat di Balai Polis Karamunsing pada 30 Julai 2008 bernombor Labuan/004295/08 Hazreeq menyatakan bahawa; "Pada lebih kurang jam 8.00 pagi, 14 Julai 2008, Pengurus Kontrak, Labindo Engineering Services Sdn. Bhd., Haji Yusani Bin Datuk Haji Yusof telah memaklumkan kepada saya melalui telefon bahawa kerja total subkontrak cadangan pembinaan sebuah pasar baru Labuan yang sedang saya jalankan ditamatkan serta merta. Tindakan ini membuatkan saya merasa tertipu kerana penamatan kontrak berkenaan di buat secara malafide setelah saya membekalkan bahan binaan dan membuatkan saya kerugian berjuta ringgit dan goodwill syarikat saya tercemar. Labindo Engineering Services Sdn. Bhd. juga secara sedar telah melakukan jenayah penipuan secara terancang berpakat dengan subkontraktor yang kami lantik, Bok Piling Limited Co. meneruskan kerja berkenaan dan merampas bahan binaan yang kami bekalkan dan memalsukan dokumen tuntutan kontrak. Saya buat aduan ini supaya Polis di-Raja Malaysia mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Jenayah terhadap Pengarah Labindo Engineering Services Sdn.Bhd., Datuk Haji Yusof Bin Mahal kerana melakukan penipuan, pembelitan dan memasuki kontrak secara curang dan berniat jahat untuk memperdaya saya menjalankan subkontrak bagi pihaknya. Sekianlah laporan saya." Dalam kenyataannya kepada Malaysia Today, Hazreeq memaklumkan bahawa Yusof berjaya memperdayanya mematerai satu total subkontrak secara curang dan malafide. "Saya tidak sangka dia telah merancang untuk menipu saya di peringkat awal lagi dengan memasukkan Item Preliminaries ke dalam Surat Tawaran Kerja Total Subkontrak. Pada awalnya kami bersetuju tidak memasukkan item berkenaan kerana harga yang ditawarkan kepada saya hanya RM20.59 juta," ujar Hazreeq yang terkejut apabila surat jawapannya terhadap surat tawaran berkenaan enggan di layan dan Yusof tidak mahu meminda surat tawaran berkenaan. Menurut Hazreeq, beliau hanya menyedari tertipu apabila Yusof yang berjanji memasuki kontrak berkenaan secara 'back to back' dan tidak akan menuntut bayaran pendahuluan telah memungkiri janjinya dengan menuntut bayaran pendahuluan kontrak sejumlah RM3.6 juta daripada Perbadanan Labuan, sedangkan pada dasarnya semua kerja dilakukan oleh syarikat Hazreeq melainkan Item Preliminaries yang sepatutnya dibekalkan oleh Labindo Engineering Services Sdn.Bhd. "Bayangkanlah bagaimana saya tidak terkejut. Kontrak berkenaan hanya RM24 juta dan setelah di tolak Preliminaries sejumlah RM1.42 juta, keuntungan bersih Yusof hanya RM1.99 juta. Dia telah menuntut dan di bayar RM3.6 juta sebagai pendahuluan dan RM1.09 juta lagi sebagai bayaran interim," tegas Hazreeq yang kesal kerana Yusof melakukan jenayah penipuan. Hazreeq turut terkilan kerana Yusof hanya membuat sekali bayaran sejumlah RM200,000 setelah di desak dan itulah bayaran terakhir di terima setelah melakukan kerja yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta sebelum kontraknya ditamatkan pada 14 Julai 2008 apabila beliau terus mendesak Yusof agar menjelaskan bayaran kemajuan kerja. Sebagai subkontraktor yang menjalankan kerja Total Subkontrak, Hazreeq cuba menyelesaikan masalah berkenaan secara professional dengan cuba menemui Pegawai Kanan Perbadanan Labuan terutama untuk menghadiri mesyuarat kemajuan projek, namun Yusof telah mengupah lebih sepuluh orang samseng untuk menghalangnya menghadiri mesyuarat berkenaan. "Dia mencuri 93 batang piling (cerucuk) saya dan berpakat dengan subkontraktor saya untuk kerja menanam cerucuk, Box Piling Co. Limited yang saya bawa dari Brunei untuk meneruskan kerja tanpa rasa malu atau rasa bersalah," ujar Hazreeq yang berpuas hati dengan siasatan pegawai kanan polis Kontingen Sabah. Hazreeq turut mendakwa bahawa bahan binaan yang dibekalkan di tapak binaan juga turut di curi dan digunakan untuk menyiapkan projek Esplanade Labuan yang dilaksanakan oleh syarikat anaknya, Utarakita Sdn. Bhd. Mengikut Hazreeq lagi, Yusof memalsukan keterangan kedudukan kewangannya untuk mendapatkan pinjaman modal sejumlah RM8 juta daripada Sabah Development Bank (SDB). Yusof telah berpakat dengan pegawai SDB dan berjaya menipu Perbadanan Labuan dengan mengemukakan nota kredit palsu yang menunjukkan syarikatnya mampu melaksanakan projek Pasar Baru bernilai RM24 juta sedangkan keuntungannya hanya RM1.99 juta kerana telah menyerahkan total subkontrak kepada Nautika Innovasi Sdn. Bhd. Dalam kenyataan bersumpahnya, Hazreeq mengakui bahawa tuntutan bayaran pendahuluan dan bayaran interim kemajuan projek yang dilakukan oleh Yusof adalah tuntutan palsu kerana tidak setimpal dengan kerja yang dilaksanakan. "Ketika mereka tuntut bayaran pendahuluan sejumlah RM3.6 juta, satu kerja pun tak buat. Apa pun tak ada di site. Bayaran interim pertama sejumlah RM468,000 pun tidak ada kerja di buat. Masuk tuntutan kedua RM140,000 barulah 33 batang cerucuk saya bekalkan. Hanya pada tuntutan interim ketiga sejumlah RM480,000 barulah 900 batang cerucuk yang saya pesan sampai dari Pelabuhan Kelang," ujar Hazreeq sambil menunjukkan invois asal daripada pembekal. Hazreeq terkilan kerana Yusof menggunakan sebahagian besar wang tuntutan projek berkenaan untuk membeli sebuah Mercedes baru, LC69, pejabat baru untuk kerjaya politiknya di Utama Jaya sedangkan Site Office tidak disediakan sehingga memaksa beliau menumpang di pejabat peribadi Yusof. "Saya akan membawa keluar piling berkenaan dengan apa cara kerana ia hak saya, bukan hak Perbadanan Labuan atau Yusof Mahal. Saya ada invois dan bil bayaran. Yusof ada apa?," tegas Hazreeq yang sudah mengarahkan pekerjanya membawa keluar harta bendanya daripada tapak projek dalam masa terdekat. Walaupun kontrak yang dimaterai di antara beliau dengan Yusof tidak disedari dan mungkin tidak di iktiraf oleh Perbadanan Labuan, namun Hazreeq bercadang untuk mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghalang Perbadanan Labuan atau Yusof mengalihkan harta bendanya atau menggunakannya di tapak projek. "Saya harap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan rapi dan mengambil tindakan tegas terhadap Yusof kerana salah laku dan menipu. Jika masih ada maruah, letak lah jawatan sebagai ahli parlimen," ujar Hazreeq yang akan menemui Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan dalam waktu terdekat, terutama semasa sidang parlimen akan datang untuk mengadu masalah yang dihadapinya. Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman ketika di hubungi mengakui pihaknya sedang menjalankan siasatan rapi berhubung dakwaan Hazreeq terutama menyelesaikan konflik antara Labindo dan Nautika. "Kita akan memanggil kedua belah pihak yang bertelagah untuk menyelesaikan isu ini dengan baik kerana kita tidak mahu projek yang penting untuk penduduk Labuan ini tergendala," ujar Suhaili yang tidak menolak kemungkinan terpaksa melaporkan isu ini kepada Jabatan Pembangunan Wilayah. Jelas Suhaili, pihaknya tidak terbabit langsung dalam urusan pemilihan kontraktor kerana semua perlantikan dilakukan oleh Jawatankuasa Tender Kementerian Wilayah Persekutuan. "Kawal seliaan, rekabentuk dan pengesahan projek dilakukan oleh Juruperunding yang di lantik," ujar Suhaili yang enggan memberikan sebarang komen berhubung desas desus penduduk Labuan bahawa Badan Pencegah Rasuah sedang menyiasat kes berkenaan. Kata Suhaili lagi, pihaknya akan memberikan kerjasama kepada semua pihak agar mereka dapat menjalankan tugas pemantauan dengan berkesan. "Biar lah pihak berkuasa memantau atau menyiasat. Tanya lah mereka. Saya tidak mempunyai sebarang locus standi untuk membuat ulasan," ujar Suhaili yang juga Ketua UMNO Bahagian Wilayah Persekutuan Labuan. Bagaimanapun, mengikut sumber dalaman Perbadanan Labuan, siasatan BPR tertumpu kepada bagaimana Yusof yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan boleh mendapatkan tiga projek di tapak yang sama bernilai RM40 juta dan tuntutan palsu. "Kami tidak tahu menahu sama ada Yusof merasuah Lembaga Tender sejumlah RM4 juta seperti yang di dakwa, tetapi sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, beliau tidak patut mendapatkan kontrak berkenaan kerana 'Conflict of Interest'," ujar pegawai kanan Perbadanan Labuan yang hanya mengenalkan dirinya sebagai Rafi. Sehubungan itu, Ketua Pengarah BPR, Datuk Haji Ahmad Said Hamdan yang di hubungi mengesahkan pihaknya telah menerima aduan rasmi dan pegawainya sedang menjalankan siasatan. "Kita akan maklumkan kepada media apabila siasatan selesai atau apabila tertuduh di dakwa di mahkamah. Terlalu awal untuk membuat andaian. Kita akan berlaku adil kepada semua pihak. Pegawai kita akan menjalankan tugas mereka dan kita tak boleh komen panjang sangat," tegas Ahmad Said lagi yang mengingatkan media agar tidak membuat sebarang spekulasi.
|